Mukhriz belum terima cadangan projek RM30 bilion di Langkawi

Mukhriz belum terima cadangan projek RM30 bilion di Langkawi

Mukhriz Mahathir berkata, projek itu pernah dicadangkan ketika beliau menjadi MB Kedah dahulu, tetapi ia tidak disusuli bayaran deposit yang menepati syarat kerajaan negeri bagi projek mega dinyatakan Ting Pek Khiing.

Free Malaysia Today
Mukhriz Mahathir berkata, cadangan asal itu tidak dipertimbangkan lagi dan tiada cadangan pembangunan baru dikemukakan Ting Pek Khiing untuk pertimbangan kerajaan Kedah setakat ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan Kedah belum menerima cadangan Projek Bandaraya Baharu Langkawi bernilai kira-kira RM30 bilion di pulau itu.

Ia susulan laporan pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing semalam mengumumkan projek yang merangkumi pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersial dan dermaga kapal di tanah seluas 81 hektar di barat Langkawi, akan dilancarkan hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pengumuman Ting itu menghairankan kerana projek berkenaan tidak dicadang, dibincang dan dipertimbangkan, apatah lagi diluluskan kerajaan negeri pimpinannya.

“Saya ingin jelaskan projek tersebut pernah dicadangkan sewaktu saya memegang jawatan menteri besar Kedah kali pertama, di bawah kerajaan Barisan Nasional dahulu.

“Ting telah mengemukakan cadangan pembangunan tanah tambak laut bagi membina hartanah yang akan dijual kepada pembeli tempatan dan asing.

“Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak disusuli dengan bayaran deposit yang menepati syarat kerajaan negeri bagi projek mega dinyatakan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata, cadangan asal itu tidak dipertimbangkan lagi dan tiada cadangan pembangunan baru dikemukakan Ting secara rasmi untuk pertimbangan kerajaan negeri setakat ini.

Katanya, kerajaan negeri pimpinannya tidak akan menyulitkan sebarang inisiatif untuk melabur atau membangunkan Kedah, sebaliknya mereka akan memberikan kerjasama penuh, panduan dan nasihat jika perlu untuk menjayakan usaha sedemikian.

Beliau berkata, semua projek perlu mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan, termasuk melalui proses saringan untuk mengenal pasti impak sosial, alam sekitar dan ekonomi.

“Walaupun kerajaan negeri amat mesra perniagaan dan pelaburan, namun ketiga-tiga aspek itu tidak akan dikompromi.”

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai wang boleh melabur di Langkawi,

Bagaimanapun, ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kelulusan itu terletak di tangan kerajaan negeri.

“Ini adalah projek di negeri Kedah, jadi ia akan ditangani Kedah dan menteri besar Kedah boleh menjawabnya,” katanya pada sidang media di Bangunan Yayasan Selangor, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.