Khairy tanding naib presiden, Azwan mahu ketua Pemuda

Khairy tanding naib presiden, Azwan mahu ketua Pemuda

Khairy Jamaluddin mengesahkan dia akan merebut jawatan naib presiden pada pemilihan 30 Jun ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mahu merebut jawatan naib presiden Umno pada 30 Jun ini, yang sekarang disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Khairy mengesahkan perkara itu dalam wawancara bersama South China Morning Post.

Sebelum ini spekulasi mengatakan Khairy mungkin menyasarkan jawatan presiden atau timbalan presiden apabila beliau menggesa semua jawatan tertinggi parti dipertandingkan, selepas kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ketua Pemuda Umno itu turut mendapat sokongan daripada Pemuda Umno Terengganu dan Kedah jika beliau mengejar jawatan presiden atau timbalan presiden.

Pemilihan Umno ditangguhkan sejak 2016.

Tugas presiden sekarang dipangku Zahid selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan atas keputusan 9 Mei. Hishammuddin pula memangku tugas timbalan presiden, yang kosong selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat pada 2016.

Sementara itu, Khairul Azwan Harun pula menawarkan diri untuk jawatan ketua Pemuda Umno atas platform revolusi dalaman.

“Umno kini sedang melalui proses pemulihan dan pembaharuan hakiki setelah gagal mempertahankan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum.

“Maka dalam usaha untuk menjalankan agenda revolusi parti, saya akan menawarkan diri sebagai calon ketua Pemuda yang baru bagi menggantikan Khairy Jamaluddin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yakin dengan peluang memenangi jawatan itu, kerana pengalamannya sebagai seorang senator dan naib ketua Pemuda.

“Kita akan berjaya membawa agenda pembaharuan ini. Kita juga akan membina pemuda sebagai semak dan imbang yang berwibawa kepada kerajaan Pakatan Harapan serta mencari lebih ramai pemimpin muda yang segar dan berani dalam menjuarai aspirasi rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.