
Goh Bok Yen berkata MRT3 adalah lingkaran berbentuk bulatan yang sepatutnya menghubungkan 6 kaedah pengangkutan awam utama yang bergerak atas laluan masing-masing.
Enam kaedah tersebut adalah Transit Aliran Massa (MRT), Keretapi Tanah Melayu atau KTM, Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, KLIA Express atau ERL dan bas.
“Ideanya adalah apabila anda menaiki laluan dalam bentuk bulatan itu, anda boleh mengakses 6 sistem pengangkutan awam tersebut.
“Laluan ini tidak semestinya MRT, tetapi ia haruslah bersifat transit aliran kelajuan tinggi. Ia mungkin bas, tram atau sejenis keretapi yang lebih kecil. Ia boleh aras tinggi, atas darat atau bawah tanah”
Tetapi Goh berkata, penting untuk mengkaji dan memahami kadar jumlah penumpang dan merancang sebetulnya sebarang alternatif untuk MRT3.
Katanya, terdapat banyak transit aliran di luar negara yang boleh dicontohi.
“Paling penting, ia harus berorientasikan transit dan bukan berorientasikan pembangunan. Sebelum ini, terdapat isu berkaitan jajaran projek MRT, di mana laluan dan stesen dibina di kawasan tertentu untuk meningkatkan nilai sesetengah hartanah.
“Ini harus dibetulkan.”
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar juga menyambut baik keputusan membatalkan MRT3, mengatakan sekarang “bukan masanya lagi untuk melaksanakan projek itu”.
“Kita sudah ada MRT1 dan MRT2, dan kos projek-projek ini agak tinggi. Jumlah penumpang MRT1 masih tidak tinggi, jadi tiada keperluan untuk mempercepat projek MRT3.
“Biarkan jumlah penumpang meningkat dahulu, dan apabila ekonomi semakin baik dan terdapat keperluan, ia boleh dipertimbang semula. Jika tidak, ia akan menjadi beban besar untuk kerajaan dan rakyat.”
Awal hari ini, dilaporkan Putrajaya mengumumkan projek MRT3 dibatalkan, sehari selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak akan meneruskan dengan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bernilai RM110 bilion yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
September lalu, CIMB Equities Research berkata MRT3 mungkin memakan perbelanjaan antara RM35 bilion dan RM45 bilion.