PKR Perlis dakwa tolak tawaran Azlan tubuh kerajaan negeri

PKR Perlis dakwa tolak tawaran Azlan tubuh kerajaan negeri

Pengerusi PKR Perlis berkata, rundingan dengan Azlan Man tidak membuahkan hasil kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan berhubung calon MB.

Free Malaysia Today
Pengerusi PKR Perlis, Mohammad Faisol Abdul Rahman berkata, Azlan Man memberitahu masalah dihadapi BN Perlis dalam pertemuan 2 hari selepas keputusan PRU14 diumumkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Perlis mendakwa parti itu menolak tawaran Datuk Seri Azlan Man untuk membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinannya sebagai menteri besar penggal ke-2.

Pengerusi PKR Perlis, Mohammad Faisol Abdul Rahman berkata, rundingan dengan Azlan tidak membuahkan hasil kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan berhubung calon menteri besar.

“Dia (Azlan) cuba dapatkan sokongan dari 3 adun kita dan seorang ahli Parlimen kita untuk lantik dirinya sebagai menteri besar, tetapi kita kata ia tidak boleh.

“Dasar kita adalah jika mahu rundingan berjalan dan kalau mahu bersama dengan kita, pihak kita yang harus menjadi menteri besar, bukannya dia (Azlan),” kata timbalan pengerusi Pakatan Harapan Perlis kepada FMT baru-baru ini.

Azlan mengangkat sumpah sebagai menteri besar penggal ke-2 di depan Raja Perlis di Istana Arau, pada 24 Mei lalu tanpa kehadiran baki 9 adun BN.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang murka dengan tindakan 9 adun BN itu berkata, beliau tidak melantik Datuk Ismail Kassim, adik kepada Pengerusi BN dan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menerajui negeri itu kerana tidak mahu seorang menteri besar boneka yang dikawal kuasa luar.

Ia disusuli pengumuman Shahidan bersama 9 adun BN dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari sama untuk memecat keahlian Azlan dalam parti kerana mendakwa beliau tidak mendapat sokongan majoriti 9 wakil rakyat BN Perlis untuk dilantik sebagai MB.

Kini, hampir 3 minggu selepas pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu, kemelut BN Perlis masih berlarutan kerana Azlan belum mempunyai barisan exco.

Mengulas lanjut, Faisol berkata, Azlan yang juga timbalan pengerusi BN Perlis memberitahu masalah dihadapinya dalam pertemuan 2 hari selepas keputusan PRU14 diumumkan.

“Saya bertemu dengan Azlan dan saya dengar sendiri pergeseran yang berlaku antara 2 kumpulan ini. Masing-masing ada permasalahan sendiri.

“Hal ini kerana Shahidan mahu adiknya, Datuk Ismail Kassim dilantik sebagai menteri besar, manakala Azlan pula merasakan dirinya perlu dikekalkan sebagai menteri besar,” katanya yang menyifatkan krisis MB itu ialah kes klasik yang pernah melanda BN negeri itu selepas PRU 2008.

Keadaan pada 2008 tidak memihak kepada Shahidan walaupun beliau berkeras kekal sebagai MB Perlis atas dasar beliau ialah pengerusi Umno Perlis dan mendapat watikah pelantikan perdana menteri.

Tetapi, sekumpulan majoriti adun BN Perlis mahu Shahidan digantikan dan Raja Perlis yang mempunyai kuasa melantik MB seperti termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis melantik Adun Bintong ketika itu, Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai MB.

Shahidan ialah ahli Parlimen Arau pada 1986, 1990 dan 2013 serta berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,856 undi selepas mengalahkan calon PAS dan PKR pada 9 Mei lalu.

Beliau juga pernah memenangi kerusi DUN Tambun Tulang pada 1995, 1999, 2004 dan 2008 serta dilantik sebagai MB sejak 1995 sehingga Mac 2008.

Pada PRU14 lalu, BN mendapat majoriti 2/3 dengan memenangi 10 daripada 15 kerusi negeri yang ditandinginya, manakala PH memenangi 3 kerusi negeri (Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan) dan baki 2 kerusi dimenangi PAS (Sanglang dan Guar Sanji).

Sementara itu, 2 adun BN yang enggan dikenali memberitahu China Press, 9 adun parti itu sudah mencapai kata sepakat untuk menyokong Azlan sebagai MB Perlis.

Mereka berkata, pucuk pimpinan Umno juga bersetuju Azlan menjadi MB dan mereka akan menghormati keputusan Raja Perlis serta kepimpinan parti untuk menamatkan krisis itu.

Semalam, Adun Santan, Azizan Sulaiman dipetik Bernama sebagai berkata, 9 adun BN sedia memberi penjelasan kepada Tuanku Syed Sirajuddin.

“Pihak istana memaklumkan Tuanku bersetuju menerima sembah menghadap semua adun terlibat dan kini kami hanya menunggu tarikh (menghadap) sesuai yang akan ditetapkan oleh baginda.

“Kami semua tiada niat langsung untuk menderhaka, tetapi menjunjung titah Tuanku dan kami berharap perkara ini dapat dijelaskan kepada baginda sekaligus menyelesaikan kemelut ini,” katanya semalam.

Pada 26 Mei lalu, Ketua Pemuda Umno Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar mendakwa Shahidan tidak tahu Azlan dipilih kepimpinan tertinggi parti sebagai MB.

“Terdapat 2 nama yang dibawa ke pertimbangan Tuanku, iaitu Azlan dan Datuk Ismail Kassim. Sumber yang boleh dipercayai memaklumkan kedua-dua mereka (Pemangku Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein) bersetuju dengan cadangan melantik Azlan sebagai menteri besar Perlis.

“Tetapi, keputusan ini tidak dimaklumkan kepada Shahidan serta adun BN lain menyebabkan mereka terus mempertahankan sokongan kepada Ismail,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/26/krisis-mb-perlis-shahidan-tidak-tahu-azlan-pilihan-parti/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.