

Perunding keselamatan jalan raya, Karen Goonting berkata kadar kematian tertinggi dalam kemalangan jalan raya di seluruh dunia ialah mereka yang berysia 16 hingga 25 tahun.
“Ini bukan fenomena baru, tetapi berlaku selama berdekad sejak kita mula mempunyai kereta. Apa yang kita perlu lakukan ialah penguatkuasaan lebih baik.
“Pada usia 16 tahun, bahagian otak dikenali sebagai sistem limbik yang mengawal perkara seperti keseronokan, kesakitan dan kemarahan, berkembang sepenuhnya.
“Tetapi, bahagian ‘brek tangan’ yang memberitahu anda tidak patut memandu terlalu laju kerana ia berbahaya, yang berada di korteks prefrontal, di belakang dahu anda, tidak matang sepenuhnya sehingga anda berusia 26 tahun.
“Ini sebabnya kami mempunyai statistik konsisten selama beberapa dekad di semua negara. Ini kerana alasan fisiologi,” kata Goonting.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini yang meminta maklum balas orang ramai mengenai kajian semula had umur pengambilan lesen memandu, sebelum membuat keputusan muktamad.
Loke berkata, statistik menunjukkan 7,152 kematian di jalan raya dicatatkan pada 2016, termasuk 1,161 orang berusia 16 hingga 20 tahun dan kira-kira 1,000 orang berusia 21 hingga 25 tahun.
Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal terdiri daripada sebahagian besar statistik itu, iaitu kira-kira 60%.
Goonting berkata, penguatkuasaan dan pendidikan digunakan untuk mengurangkan risiko kemalangan di peringkat antarabangsa.
“Pendidikan dilaksanakan secara berterusan, tanpa henti. Itu yang kita sepatutnya lakukan di Malaysia, jangan berhenti.
“Kita memerlukan kaedah sokongan tanpa henti. Kita juga memerlukan ibu bapa turut serta, walaupun kanak-kanak belajar di sekolah – ia bermula di rumah.
“Kanak-kanak akan mengikut apa yang mereka lihat, termasuk jika ibu bapa melanggar peraturan. Anda ikut model peranan anda,” katanya kepada FMT.
Goonting berkata, ramai yang cuba mengelak daripada melanggar undang-undang kerana tidak mahu disaman, tetapi mesej sebenar pendidikan keselamatan jalan raya sepatutnya tertumpu kepada pematuhan peraturan akan menyelamatkan nyawa anda.
“Pendidikan ialah kuncinya, ia perlu dikekalkan dan dilaksanakan secara konsisten supaya kita boleh menangani isu itu.”
Katanya, ramai rakyat Malaysia memandu secara berbahaya dan ia memerlukan masa untuk mengubah tabiat mereka.
“Kita memerlukan penguatkuasaan lebih ketat dan caranya ialah terus konsisten. Apabila ia diamalkan secara berterusan, kita boleh membuang tabiat buruk dan menjadi pemandu lebih berhemah.”