
Menurut Najib, mereka ini ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepadanya dan keluarga di pejabat perdana menteri dan kediaman rasmi Seri Perdana.
“Tidak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan,” katanya di Facebook hari ini.
“Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang 9 tahun ini – termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri.”
Menurut Najib, hanya seorang pegawai pembantu peribadi (aide de camp) kekal bersamanya.
Beliau memuji dedikasi dan kesetiaan yang mereka tunjukkan ketika bersamanya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama.
“Saya mohon kerajaan baru supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” katanya.