Hindraf lawan Hindraf 2.0, nafi buat tuntutan baru

Hindraf lawan Hindraf 2.0, nafi buat tuntutan baru

Hindraf asal menafikan ada membuat tuntutan kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi, dan meminta kumpulan bernama Hindraf 2.0 jangan kelirukan orang ramai.

Free Malaysia Today
Waythamoorthy berkata tidak wujud pertubuhan bernama Hindraf 2.0.
KUALA LUMPUR:
Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menjelaskan pihaknya tidak membuat sebarang tuntutan sama ada kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), Majlis Penasihat Kerajaan atau Jawatankuasa Reformasi Institusi.

Tuntutan itu dibuat oleh kumpulan lain,kata Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy hari ini.

Semalam dilaporkan kumpulan yang memanggil dirinya Hindraf 2.0 diketuai peguam P Uthayakumar menyerahkan tuntutan kepada sekretariat Jawatankuasa Reformasi Institusi yang diwujudkan bawah Majlis Penasihat Kerajaan oleh kerajaan PH.

Tuntutan 25 perkara itu bertujuan membaiki keadaan hidup kelompok bawahan 75% masyarakat India.

Uthayakumar dan Waythamoorthy merupakan adik beradik, tetapi bertelagah berhubung pendekatan yang patut diambil dalam menangani masalah dihadapi masyarakat India, terutama selepas Waythamoorthy bekerjasama dengan Barisan Nasional dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya dulu.

Waythamoorthy berkata, “tidak wujud pertubuhan bernama Hindraf 2.0. Ketuanya ialah Presiden Parti Hak Asasi Manusia, P Uthayakumar. Dia tidak terlibat dengan aktiviti Hindraf sejak 2008 kerana mahu menubuhkan parti politik sendiri. Tindak-tanduknya kini menimbulkan kekeliruan, rasa marah dan benci dalam kalangan orang ramai.”

“Mengelirukan orang ramai dengan menggunakan nama Hindraf tidak membantu perjuangan mencari penyelesaian menyeluruh dan berkekalan bagi masalah masyarakat.”

Beliau seterusnya mengundang Uthayakumar menyertai Hindraf secara rasmi “jika mahu”.

Waythamoorthy berkata, Hindraf berjaya menjalankan kempen “Undi sifar untuk BN” sepanjang 2 tahun lepas dan bekerja rapat dengan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad sejak setahun lepas bagi memastikan kemenangan PH.

Lebih 300 siri jelajah dan perjumpaan diadakan sepanjang 18 bulan bagi memastikan BN dikalahkan, “tetapi Uthayakumar tidak mengambil bahagian atau menyokong usaha untuk bekerja dengan Dr Mahathir atau PH,” kata Waythamoorthy.

“Saya mahu beritahu Uthayakumar, perang sudah tamat dengan tumbangnya BN. Dia mesti tinggalkan pendekatan konfrontasinya dan sertai orang lain yang kini bekerja untuk membina Malaysia baru.”

“Kini masa membina semula masyarakat dalam Malaysia baru yang terhasil daripada kerja keras mereka yang menyokong PH. Dr Mahathir memberi komitmen kepada Hindraf bagi menyelesaikan isu tertangguh dan kami sedang bekerja dengan beliau dan pemimpin PH.

“Jadi tidak perlu lagi pendekatan konfrontasi terhadap kerajaan PH, yang kini disokong oleh Hindraf, berbanding halangan dihadapi ketika dengan Umno,” kata Waythamoorthy.

Pada 2016, Uthayakumar memberitahu FMT beliau tidak lagi terlibat dalam politik, dan selama beberapa tahun lepas tidak aktif, tetapi muncul tiba-tiba selepas kerajaan baru dibentuk.

Beliau sebelum ini berkata, terdapat persepsi pertubuhan pimpinan adiknya itu “dibeli” oleh kerajaan dan beliau sendiri mahu “memberi tumpuan membina firma guamannya untuk menyara hidup.”

Hindraf ditubuhkan pada 2005 oleh Uthayakumar, Waythamoorthy dan beberapa orang lain bagi memperjuangkan nasib orang India miskin, termasuk menimbulkan isu kematian dalam tahanan polis.

Berikutan penahanan Uthayakumar bawah Akta Keselamatan dalam Negeri pada 2007, Hindraf dipimpin sementara waktu oleh R S Thanenthiran, yang kemudian menubuhkan Parti Makkal Sakti untuk menyertai BN.

Waythamoorthy yang melarikan diri ke London, kembali ke tanah air untuk memimpin Hindraf dan menandatangani persefahaman dengan BN sebelum pilihan raya umum ke-13. Beliau kemudian dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau meletak jawatan selepas setahun dan mendakwa Najib gagal menghormati rangka tindak Hindraf untuk membela kelompok miskin masyarakat India. Pada pilihan raya lepas, beliau menyokong PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.