Batal HSR: Singapura tunggu makluman rasmi Putrajaya

Batal HSR: Singapura tunggu makluman rasmi Putrajaya

Seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, negara itu setuju meneruskan projek itu berdasarkan manfaat bersama dan kewajipan dalam perjanjian dua hala HSR.

SINGAPURA:
Singapura belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kata Kementerian Pengangkutan republik itu, pada Isnin.

“Kami bersetuju meneruskan projek HSR berdasarkan manfaat bersama dan kewajipan yang ditetapkan dalam perjanjian dua hala HSR,” kata jurucakap kementerian itu dalam emel kepada Bernama.

“Kami akan menunggu komunikasi rasmi daripada Malaysia,” kata jurucakap itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin mengesahkan Malaysia akan membatalkan projek itu dan mungkin membayar (RM atau S$) 500 juta dalam bentuk pampasan.

“Ia adalah keputusan muktamad, tetapi ia akan memakan masa berikutan kita mempunyai perjanjian dengan Singapura.

“Ia tidak memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan membabitkan kos amat besar dan kita tidak akan meraih keuntungan daripadanya disebabkan ia landasan yang pendek.”

Dr Mahathir berkata, Malaysia akan membincangkan perkara itu dengan Singapura tidak lama lagi supaya pembatalan projek itu dilakukan dengan “kos rendah”.

HSR yang membabitkan laluan sepanjang 335km akan dibina di Malaysia, membabitkan 4 negeri untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. Ia dijadualkan siap pada 2026.

Pampasan 500 juta untuk batal HSR, kata Dr M

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.