
Ketua Penerangan Pemuda PKR negeri, Mohd Ikhwan Nasser berkata, Mohd Eddy Casmady dilihat muncul dalam banyak video anti Pakatan Harapan (PH) ketika pilihan raya umum dan mengecam PH selama bertahun-tahun.
Ikhwan berkata, Eddy bagaimanapun dikesan mendekati Anwar ketika bekas ketua pembangkang itu melawat Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Jumaat lalu.
“Saya ambil gambar Anwar ketika beliau melawat Cherok Tok Kun. Selepas memuat naik gambar itu ke Facebook, ratusan orang mula komen dan kata Eddy ialah orang BN.

“Apa yang mengejutkan kami ialah sesetengah netizen menunjukkan video beliau mengecam PH dan DAP dalam sebuah video kempen BN ketika pilihan raya.
“Kami dapati Eddy ialah sebahagian daripada pasukan media bekas menteri Umno, Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob),” kata Ikhwan dalam sidang media di Komtar Walk hari ini.
Hasil pemeriksaan FMT mendapati ada video yang tertera nama Eddy sebagai timbalan ketua Briged Kesatria Muda. Ia adalah sebuah kumpulan yang rapat dengan Umno.
Eddy terkenal pada 2016 ketika beliau membantah perayaan muzik tarian elektronik di Selangor dengan mendakwa ia adalah “pesta arak” dan akan meruntuhkan akhlak orang Melayu.

Beliau dilaporkan bersedia “kerat jari” jika beliau silap dalam mengatakan 90% penonton dalam acara itu ialah orang Melayu berusia 18 hingga 30 tahun.
“(Pesta-pesta) ini kerja halus untuk merosakkan anak bangsa kita,” katanya dalam catatan Facebook yang dipetik says.com dalam satu artikel mengenainya pada 2016.
Ikhwan berkata, pucuk pimpinan PKR perlu menjelaskan kenapa Eddy dikesan bersama Anwar.
“Ada orang tanya Eddy kenapa dia bersama Anwar? Eddy beritahu mereka, dia sebahagian daripada pasukan Anwar. Itu tidak mungkin kerana Anwar tiada pasukan media ketika ini.
“Kami rasa dia mungkin berada di sana untuk menghuru-harakan parti.”

Sementara itu, pemangku ketua Pemuda PKR negeri, Khairil Anuar Kamarudin berkata, Anwar sebagai pemimpin parti perlu berhati-hati ketika mengambil sekutu.
Beliau mencadangkan Anwar menapis Biro Politik PKR untuk menyingkirkan individu tidak dikehendaki.
“Jangan kita ulangi kesilapan dan detik hitam 1998 serta 2008 daripada diari pejuang PKR,” katanya merujuk sabitan liwat Anwar yang didakwa bermotifkan politik.
FMT sudah menghubungi Eddy dan masih menunggu komennya.