
Peguam Jamal itu berkata anak guamnya yang dibenarkan ikat jamin mengeluarkan dirinya dari hospital kerana beranggapan proses ikat jaminnya sudah disempurnakan ketika itu.
“Beliau sedia memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses ikat jamin tempoh hari.
“Beliau menjelaskan pada petang hari kejadian beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai proses ‘discharge’ untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain.
“Pada ketika itu beliau percaya dan beranggapan proses ikat jamin telah selesai dan sempurna,” kata peguam Jamal itu dalam kenyataan hari ini.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu didapati hilang dari Pusat Perubatan Ampang Puteri kelmarin beberapa jam selepas didakwa. Jamal, 48, yang sedang dirawat di wad premier hospital swasta itu bagi masalah sakit belakang meninggalkan kawasan hospital sementara proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan.
Jamal didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di pintu pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada Oktober tahun lepas sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak.
Imran berkata Jamal masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan.
“Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah beliau benar-benar sihat.
“Pihak peguam percaya telah berlaku sedikit salah faham, sehingga perkara dan situasi beliau tersebut telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif,” katanya.
Imran berkata perkara ini sudah dimaklumkan kepada polis.