Polis: Wang tunai RM114 juta dalam 35 beg dari kondo KL

Polis: Wang tunai RM114 juta dalam 35 beg dari kondo KL

Polis berkata, wang tunai itu dalam bentuk 26 mata wang asing, manakala 37 beg lagi mengandungi barang kemas yang masih menunggu penilaian.

Free Malaysia Today
Amar Singh (2 dari kiri) berkata, semua anggota dilarang membawa telefon bimbit mereka ketika serbuan itu.
KUALA LUMPUR:
Polis berkata, RM114 juta ditemui dalam 35 daripada 72 beg yang dirampas dari kondominium mewah, Pavilion Residences di ibu negara dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Manakala baki 37 beg mengandungi barang kemas serta barang berharga lain, dan polis sedang mendapatkan khidmat pakar untuk menilainya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, polis mengguna 11 mesin untuk mengira wang tunai itu.

Polis sebelum ini mengumumkan 72 beg dan 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dirampas dalam operasinya sejak malam 16 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan dalam skandal 1MDB.

Amar dalam sidang media pertama untuk menjelaskan penggeledahan itu hari ini, turut menafikan dakwaan gambar yang dimuat naik ke media sosial adalah wang dan barang rampasan daripada Najib.

“Semua ini berita palsu. Saya sudah mengarahkan anggota polis yang mereka tidak dibenarkan membawa telefon bimbit mereka ketika operasi.

“Tiada gambar diambil dalam semua serbuan kami, selain oleh jurugambar rasmi.

“Oleh itu, gambar-gambar ini adalah palsu. Saya merayu media tidak menyebarkan imej sedemikian kerana ia akan menjejaskan siasatan kami.”

Enam premis digeledah polis sejak malam 16 Mei lalu, iaitu kediaman peribadi Najib di Taman Duta, 3 kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.

Kasut dirampas milik anak perempuan Najib

Amar berkata, beg dan barang itu dirampas dari 3 premis, 2 daripada milik anak Najib dan seunit lagi tidak berpenghuni.

Katanya, polis turut merampas beberapa pasang kasut dari sebuah unit kondominium didiami anak perempuan Najib.

Beliau berkata, gambar mengenai barang mewah yang dirampas seperti beg tangan dan jam tangan akan dihantar kepada pakar di luar negara, termasuk di Paris untuk tujuan pengesahan keasliannya.

“Ada banyak jenama, tetapi kebanyakannya dari Paris.”

Amar turut mempertahankan anggotanya dalam operasi menggeledah hartanah dikaitkan dengan Najib.

“Kita ada semua kuasa di bawah Bab 13 Kanun Prosedur Jenayah, tambahan kepada waran geledah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.