
Ketua PPBM negeri itu berkata pengundi Perlis terkesan dengan bantahan daripada “BN 9” dan sejak itu berubah hati, didorong oleh pendedahan skandal kerajaan persekutuan dulu.
“BN 9” merujuk kepada 9 Adun yang membantah Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah sebagai menteri besar buat kali kedua untuk penggal ini.
“Lebih baik adakan pilihan raya baru. Rakyat kehairanan atau tidak pasti apa yang perlu dilakukan tanpa kerajaan yang berfungsi sepenuhnya akibat pergaduhan antara BN dan keadaan buntu sekarang ini.
“Pilihan raya baru akan mengembalikan keseimbangan kepada negeri dan BN mungkin tewas melihat kepada skandal-skandal yang sedang terbongkar di media hari ini.
“Adun-adun BN yang membantah harus akur dan mengambil langkah terhormat iaitu letak jawatan. Berundurlah demi rakyat,” katanya.
Ameir berkata ramai pengundi menyesal mengundi BN dan tidak kisah pilihan raya baru diadakan untuk memilih kerajaan baru.
“Ramai mahukan kemajuan di negeri itu, dan dengan PH mengawal kerajaan persekutuan sekarang, rakyat tahu kami boleh bawa kemajuan kepada rakyat Perlis,” katanya.
Dilema politik di Perlis berlaku selepas pilihan raya 9 Mei lepas apabila BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN tetapi gagal memilih seorang menteri besar yang disokong semua pihak.
“BN 9” memboikot majlis angkat sumpah semalam dan mengundang kemarahan Raja Perlis. Majlis itu dihadiri Adun Pakatan Harapan dan PAS, yang bersama membentuk 5 kerusi di Dewan Undangan Negeri.
Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga bekas menteri besar negeri itu, memecat Azlan daripada parti.
Beliau juga mengkritik Raja Perlis yang didakwanya mencampuri urusan pentadbiran negeri, dan berkata dia mengorbankan jiwa dan raya untuk memastikan kemenangan BN.