

Seorang daripada mereka ialah penulis Turki berpangkalan di Amerika Syarikat, Mustafa Akyol, yang banyak menulis mengenai perlunya kebebasan bersuara dalam dunia Islam.
Akyol kerap mendakwa kerajaan Islam bersalah menghalang kebebasan bersuara, contohnya beliau ditahan pihak berkuasa agama Malaysia semasa siri jelajah ceramah mengenai subjek sama, tahun lalu.
Beberapa hari kemudian, bukunya yang menggesa lebih banyak kebebasan dalam dunia Islam diharamkan Kementerian Dalam Negeri, tambahan kepada senarai ribuan tajuk menghimpunkan karya serius seperti Sejarah Tuhan oleh Karen Armstrong dan buku berkulit lembut murahan seakan-akan pornografi.
“Ini bukan sekadar isu peribadi,” kata Akyol kepada FMT baru-baru ini, merujuk pengharaman bukunya “Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty” dan versi terjemahan bahasa Melayunya.
“Saya ada masalah lebih besar mengenai pengharaman buku dalam masyarakat Islam: Ia menghalang masyarakat Islam daripada kematangan intelektual,” kata kolumnis New York Times itu.
Beliau berkata, bukunya hanya memberi pandangan dari segi tradisi Islam.
“Ia adalah sebuah buku Islam: Ia adalah pembelaan Islam, sambil berhujah untuk penafsiran semula perundangan Islam mengenai isu tertentu. Mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan ini harus membuktikan mengapa ia salah dengan alasan, bukan mendiamkan mereka.”
Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna karya “tidak Islam” harus diharamkan, termasuk buku mempromosikan ateisme atau “pandangan dunia yang tidak dapat diterima umat Islam”.
“Kerana umat Islam sepatutnya boleh melihat idea tidak Islam supaya mereka boleh membina hujah balas. Jika anda sebaliknya melarang ‘idea berbahaya’, akhirnya anda lemah dari segi intelek.”
Penerbitan tidak diingini
“Berbahaya” adalah alasan sering diberikan kerajaan terdahulu dalam pengharaman buku merujuk seksyen di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dengan takrif “penerbitan tidak diingini” kerana ia “mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan atau mungkin mencetuskan pendapat umum”.

Ramai penulis tempatan mencabar larangan kerajaan terhadap karya mereka di mahkamah, antaranya novelis Faisal Tehrani dan aktivis Islam, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa.
Dua buku Dr Farouk, di bawah siri “Wacana Pemikiran Reformis”, menjadi kes untuk pembaharuan radikal menghampiri teks Islam, terus diharamkan.
Pensyarah kanan perubatan di Universiti Monash Malaysia itu mencabar larangan itu di mahkamah, tetapi berkata perubahan dalam dasar pengharaman buku oleh kerajaan baru lebih berkesan untuk jangka panjang.
“Saya hanya harap ini akan menjadi akademik,” katanya merujuk semakan kehakiman difailkannya di Mahkamah Tinggi.
“Harapan terbesar saya ialah kerajaan baru ini akan menghormati kebebasan bersuara dan meraikan pandangan serta idea berbeza. Dan mereka akan menamatkan kecenderungan anti intelektual rejim sebelumnya.”
Mereka yang sinis dahulu meragui keadaan akan berubah kerana pengharaman buku ialah amalan berleluasa semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Tetapi, Faisal yang tidak asing kepada pengharaman buku – 7 karyanya dianggap “tidak diingini” – tidak fikir ia semestinya betul.
“Semasa pemerintahan Dr Mahathir, beliau tidak mengharamkan karya kreatif,” kata novelis berusi 44 tahun itu yang pernah mendapat anugerah, yang salah sebuah novelnya membincangkan topik sensitif homoseksual dalam umat Islam.
Faisal yang juga ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penulisan revisionisnya tentang sejarah dan budaya Melayu tidak diterima ulama arus perdana.
Bercakap kepada FMT, beliau bagaimanapun berkata, sebuah novel secara terbuka menghina Dr Mahathir pada kemuncak protes reformasi pada akhir 1990-an tidak diharamkan.
“Novel oleh Shahnon Ahmad itu tidak diharamkan walaupun ia adalah penghinaan langsung dan terang-terangan terhadap Dr Mahathir,” katanya merujuk karya bertajuk “SHIT” oleh arwah Shahnon, sasterawan negara yang juga bekas mentor Faisal.
Tidak berbahaya
Dakwaan kerajaan terhadap karya Faisal yang sebahagian besarnya diilhamkan pandangan ulama Sunni konservatif tempatan, yang mengatakan novelnya mempromosikan Syiah Islam, aliran pemikiran yang dilabelkan “sesat” oleh pihak berkuasa Islam Malaysia.
Tetapi, bukan semua buku patut dianggap sensitif kepada struktur agama Malaysia, yang merupakan hasil dari beberapa dekad kuasa diberikan kepada birokrat Islam yang mengawal pelbagai institusi Islam.
Buku yang kelihatan “tidak berbahaya” mengenai peranan Islam dalam pembinaan negara juga diharamkan, walaupun prakatanya ditulis bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyokong penggantinya, Datuk Seri Najib Razak selama ini.
Isu kerajaan dengan buku itu, himpunan esei oleh pakar dan bekas penjawat awam, boleh dianggap ia diterbitkan sekumpulan individu yang sentiasa mengkritik dasar kerajaan mengenai Islam.
G25 yang mewakili penjawat awam kanan dan diplomat bersara, memfailkan saman terhadap kerajaan terdahulu berhubung pengharaman buku “Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy”.

Kes itu ditetapkan bermula Ogos ini, tetapi dengan perkembangan baru-baru ini dan peralihan kuasa di Putrajaya, kumpulan itu bercadang membawa kes mereka terus kepada kerajaan.
“Tiada kenyataan dari Kementerian Dalam Negeri untuk menarik balik larangan itu,” kata jurucakap G25, Datuk Redzuan Kushairi sambil menambah kepimpinan baru perlu bertindak sejajar imejnya sebagai “kerajaan progresif”.
“Mereka setakat ini melakukan perkara yang betul, semuanya ke arah lebih banyak kebebasan dan Malaysia baru,” katanya sambil menambah mereka akan menemui Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang baru ditubuhkan.
“Kami sudah menyerahkan himpunan kertas dan cadangan kami terlebih dahulu,” kata bekas duta besar ke Moscow itu.
Sementara itu, Akyol berharap pengharaman karyanya akan dikaji semula dan ditarik balik, sambil menambah perkembangan terkini di Malaysia “memberi harapan di seluruh dunia”.
“Saya harap ini masanya untuk Malaysia menyelamatkan Islam daripada mereka yang memerintah demi kepentingan diri,” kata Akyol.
“Jika Malaysia boleh mengorak langkah ini, ia akan memberi contoh baik untuk seluruh masyarakat Islam.”