
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, sikap Shahidan jelas membuktikan ahli Parlimen Arau itu membelakangi keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam isu pelantikan menteri besar Perlis.
“Dalam mencari penyelesaian yang tepat dan adil kepada kemelut yang berlaku, PAS Perlis berharap semua pihak tidak melatah atau bersikap terburu-buru dan beri kepercayaan kepada Tuanku Raja Perlis.
“PAS Perlis percaya kemelut ini boleh diselesaikan dengan baik, namun jika Shahidan tetap dengan keputusannya, maka PAS Perlis bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk berlakunya pilihan raya negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, PAS sentiasa menghormati amalan sistem beraja di negara ini dan berdiri teguh bersama Raja Perlis yang sentiasa mengutamakan rakyat serta negeri dalam keputusannya.
Semalam, Shahidan mengumumkan cadangan memecat Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man kerana mendakwa beliau tidak mendapat sokongan majoriti, selepas 9 adun BN Perlis menolak pelantikannya.
Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar khas di Kuala Lumpur, sejurus majlis pelantikan dan angkat sumpah menteri besar di Istana Arau, pagi semalam.