PAS tak boleh terima tindakan Adun tarik sokongan kerajaan PN

PAS tak boleh terima tindakan Adun tarik sokongan kerajaan PN

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkembangan di Perlis itu wajar dibincangkan dalam majlis tertinggi gabungan terbabit.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan menarik balik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis itu tidak menambah kebaikan kepada PN.
PETALING JAYA:
Tindakan lima Adun Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis tidak boleh diterima dan wajar dibincangkan dalam majlis tertinggi gabungan itu, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata sebagai rakan politik, tindakan menarik balik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis itu tidak menambah kebaikan kepada PN.

“Sebagai parti yang mempunyai majoriti dalam DUN Perlis, kepimpinan sewajarnya datang dari parti yang memiliki majoriti bagi menjamin kestabilan dan keharmonian.

“PAS mendokong keharmonian dan kestabilan demi rakyat Perlis,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada lima Adun Bersatu di Perlis untuk menarik balik sokongan terhadap Shukri.

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon menteri besar daripada parti itu selepas menerima titah daripada Istana Perlis.

Muhyiddin berkata Bersatu akan mendengar penjelasan daripada Adun parti di Perlis bagi memastikan fakta sebenar perkara tersebut.

Khamis lalu, Tuan Ibrahim menegaskan PAS tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah, berlatarkan kemelut yang membawa kepada peletakan jawatan pemimpin parti itu, Shukri, sebagai menteri besar.

Beliau berharap Bersatu turut mengambil tindakan tegas terhadap Adun mereka yang terlibat menandatangani akuan berkanun sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.

Shukri yang juga Adun Sanglang dari PAS meletak jawatan menteri besar Perlis pada Khamis, selepas tiga tahun menggalas amanah itu. Beliau memberi alasan faktor kesihatan.

Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun PN, termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau menerusi SD diserahkan kepada Raja Perlis, minggu lalu.

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga Adun berkenaan, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Selepas pendedahan mengenai SD itu, Tuan Ibrahim, serta Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap Adun Bersatu terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.