
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan masih berjalan dan pihaknya tidak akan mengambil tindakan sembarangan.
“Itu ada proses tuntutan, kita mesti mengikut proses undang-undang. Siasatan masih berjalan dan mungkin memerlukan masa. Kita tidak boleh ambil tindakan sebarangan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Semalam, Umno melalui Unit Komunikasi Strateginya meminta polis memulangkan baki dana politik yang dirampas polis baru-baru ini, untuk digunakan dalam proses membina semula parti itu.
Katanya, parti itu kecewa dengan tindakan polis merampas baki sumbangan itu ketika dalam proses pemindahan kepada kepimpinan baru, selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno dan Barisan Nasional.
“Umno berusaha memulihkan dana ini dan memohon pihak polis melepaskan dana tersebut dan mengembalikannya kepada parti setelah selesai proses siasatan oleh pihak berkuasa terbabit.
“Umno dalam proses membina semula parti dan pulangan dana parti ini akan membantu parti mengukuhkan proses pembinaan semula parti yang sedang dijalankan hari ini.”
Sementara itu, Fuzi mengesahkan polis belum memanggil Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kerana belum ada petunjuk untuk pihaknya menjalankan siasatan.
“Kita tidak dapat petunjuk, siasatan dilakukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Setakat ini, mereka dahulu yang jalankan siasatan dari perspektif mereka.”