Asri gesa pilihan raya semula di Perlis

Asri gesa pilihan raya semula di Perlis

Mufti Perlis berkata ia akan memberi peluang baru kepada rakyat Perlis membuat pilihan mereka berdasarkan perkembangan terkini.

Free Malaysia Today
Raja Perlis bergambar dengan Azlan Man dan Adun lain dari PH dan PAS yang hadir pada upacara angkat sumpah semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menggesa diadakan pilihan raya semula di peringkat negeri, susulan kemelut politik selepas Umno Perlis memecat menteri besar selang beberapa jam mengangkat sumpah jawatan semalam.

Menurut Asri, pilihan raya semula adalah cara terbaik semua pihak yang bertelagah akan berpuas hati, dan perkembangan pendedahan berkait 1MDB juga mungkin membuatkan rakyat Perlis mengubah pilihan mereka.

“Boleh pilih wajah baru dan bermutu tinggi dari semua pihak, mana-mana jaguh yang ada kualiti tapi ‘kalah’ di tempat lain, mungkin boleh datang bertanding di Perlis,” kata Asri.

Kemelut kepimpinan negeri kecil itu tercetus selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas, di mana Barisan Nasional (BN) yang memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN, tetapi gagal melantik menteri besar yang dipersetujui bersama.

Semalam Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail menerima Adun Bintong, Datuk Seri Azlan Man, yang merupakan menteri besar lepas, mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar baru untuk penggal kedua.

Majlis itu tidak dihadiri oleh 9 Adun BN lain, sehingga menyebabkan Tuanku Syed mengeluarkan kenyataan mengkritik mereka.

Beberapa jam selepas upacara angkat sumpah diadakan, Pengerusi Umno Perlis yang juga bekas menteri besar negeri itu, Datuk Seri Shahidan Kassim, memecat Azlan daripada parti.

Shahidan turut mengkritik Raja Perlis kerana didakwa mencampuri urusan pentadbiran negeri, sambil menyifatkan dirinya mengorbankan “jiwa dan raga” bagi memastikan kemenangan BN.

Sehingga kini tidak kelihatan jalan keluar daripada kemelut tersebut dengan masing-masing pihak belum menemui kata sepakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.