
Beliau bersyukur Datuk Seri Azlan Man akhirnya mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis, lebih 2 minggu selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, walaupun BN mendapat majoriti 2/3 di negeri itu, dengan memenangi 10 daripada 15 kerusi negeri yang ditandinginya.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 3 kerusi negeri (Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan), manakala baki 2 kerusi dimenangi PAS (Sanglang dan Guar Sanji).
“Kitalah yang akhir sekali nak tubuhkan kerajaan negeri, tentu ada sebab yang menyebabkan perkara ini berlaku. Pada 2008, (keadaan) lebih kurang hampir sama berlaku…makan masa 2 minggu, kali ini tak sampai 2 minggu, alhamdulillah,” katanya secara spontan selepas upacara itu selesai.
Bagaimanapun, Raja Perlis kecewa dengan tindakan 9 adun BN tidak menghadiri upacara angkat sumpah itu, walaupun jemputan dihantar 2 hari lalu.
“Ini kerana ada kepentingan sesetengah puak. Saya segan nak sebut nama, tetapi saya ingat tuan-tuan tahu kerana pagi ini pun sebilangan besar daripada kumpulan itu tidak hadir. Saya tak tahu kenapa tak hadir di sini kerana jemputan dah buat 2 hari dahulu.
“Pada masa itu, semua ada di Perlis. Mereka ini dah berhijrah ke Kuala Lumpur semalam dengan kapal terbang. Laporan ini telah diberitahu kepada saya, tetapi majlis ini jalan ‘with or without them’.”
Azlan yang juga adun Bintong, mengangkat sumpah sebagai menteri besar buat penggal ke-2, tanpa kehadiran baki 9 adun BN, kecuali wakil rakyat lain dari PH dan PAS, serta satu-satunya ahli Parlimen BN, Noor Amin Ahmad.
Upacara angkat sumpah jawatan itu menamatkan kemelut pelantikan MB Perlis selama 2 minggu, sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-14.
Tuanku Syed Sirajuddin berkata, sehingga semalam, beliau bimbang dan takut akan membuat pilihan salah.
Katanya, daripada senarai 4 calon MB, beliau senarai pendek kepada 2 orang.
“Seorang menteri besar yang baru habis tugas 5 tahun dan saya juga ingin pembangunan diteruskan. Mesti ada kesinambungan atau ‘continuity’. Kalau tidak, pembangunan akan terbantut untuk 2-3 tahun.
“Ini untuk kepentingan rakyat, tetapi tentu ada kelemahan MB yang baru habis (penggalnya). Perkara tu boleh diperbetulkan.”
Seorang lagi calon MB itu ialah Datuk Ismail Kassim, Tuanku Syed Sirajuddin berkata, beliau mempunyai hubungan rapat dengan Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Katanya, ketika mengajukan soalan kepada adun BN dalam satu mesyuarat baru-baru ini, “kebanyakan mereka lebih patuh kepada ketua perhubungan negeri daripada ketua (presiden) Umno Pusat.
“Seolah-olah ada satu ‘grip’ yang lain. Saya bimbang dan takut untuk pilih Datuk Ismail Kassim. Saya tak mahu seorang MB yang menjadi ‘puppet’, yang dikawal kuasa luar.
“Tuan-tuan dengar tadi angkat sumpah MB, tak boleh beritahu atau bincang lain daripada orang dalam Kabinet (negeri). Tetapi, Kalaulah adik jadi MB, tentu dia beritahu abang.
“Terus-terang dengan tuan, saya tidak mahu ‘outside force to control’ negeri ini. Kalau Shahidan nak, patutnya dia bertanding (kerusi) negeri, tapi dia tak bertanding (kerusi) negeri, dia bertanding di (kerusi) Parlimen,’ katanya merujuk kerusi Parlimen Arau yang ditandingi Shahidan.
Tuanku Syed Sirajuddin berkata, ketidakhadiran 9 adun dalam upacara angkat sumpah hari ini membuktikan syak wasangkanya 100% betul yang mereka dikuasai seseorang.
“Tarik semua pergi ke Kuala Lumpur dan tak bagi penghormatan untuk hadir ke majlis ini. Ini yang saya bimbang dari awal, tetapi hari ini rasa syak saya betul. Kalaulah dibiarkan kemudian lebih daripada ini boleh berlaku.
“Harap tuan-tuan faham apa saya nak sampaikan. Saya nak negeri Perlis maju dan rakyat dapat faedah. Tak kira bangsa, agama dapat faedah.
“Saya bimbang, takutlah silap pilih MB…cuma satu kumpulan dapat faedah. Maaf kalau saya terpaksa ‘reveal’ (perkara ini). Ikhlas saya harap rakyat negeri ini memahami pilihan saya.”
Shahidan ialah ahli Parlimen Arau pada 1986, 1990 dan 2013 serta berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,856 undi selepas mengalahkan calon PAS dan PKR pada 9 Mei lalu.
Beliau juga pernah memenangi kerusi DUN Tambun Tulang pada 1995, 1999, 2004 dan 2008 serta dilantik sebagai menteri besar Perlis sejak 1995 sehingga Mac 2008.