
“Reman itu akan tamat Jumaat ini,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat.
Jamal ditahan tengah hari semalam ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri, di bawah Seksyen 34 Akta Senjata Api.
Ia susulan satu laporan polis yang diterima pada 12 Mei lalu mendakwa Jamal sengaja mempamerkan senjata apinya dalam sekeping gambar yang viral di media sosial.
Jamal sepatutnya hadir ke Mahkamah Tinggi esok untuk memberi keterangan dalam saman Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah terhadapnya kerana mendakwa Bersih 2.0 yang pernah diketuainya sebagai kumpulan pengganas.
Jamal pernah ditahan polis beberapa kali, termasuk pada 2 Februari 2017 untuk membantu siasatan rompakan berkumpulan susulan kecurian yang didakwa berlaku ketika Jamal bersama sekumpulan belia menyerbu sebuah pusat perjudian, Disember 2016.
Jamal mengetuai sekumpulan orang melakukan satu siri serbuan di pusat perjudian sekitar Selangor bagi membuktikan dakwaannya yang kerajaan negeri kurang melakukan penguatkuasaan ke atas premis perjudian haram.