
Unta menjadi salah satu haiwan yang penting dalam budaya masyarakat Arab.
Daripada perlumbaan unta ke ratu cantik unta, kini unta menyumbangkan susu dalam produk formula bayi.
Menurut laporan Reuters, sebuah syarikat di UAE, Camelicious melancarkan produk susu formula bayi berasaskan susu unta.
Pengurus pembangunan perniagaan Camelicious, Mutasher al-Badry berkata, “Susu unta sangat sihat dan mempunyai banyak faedah yang terbukti secara saintifik.”Kajian menyatakan susu unta hampir sama khasiatnya dengan susu ibu dan mempunyai 10 kali lebih banyak zat besi dan 3 kali lebih banyak Vitamin C berbanding susu lembu.
Camelicious juga mengesahkan formula bayi yang dibangunkan adalah yang pertama seumpamanya di seluruh dunia.
Buat masa ini, syarikat itu menghasilkan lebih daripada 40 produk susu berasaskan unta termasuk minuman tenaga, susu tepung, dan aiskrim.

Susu unta menjadi makanan utama nomad Arab di padang pasir sejak beberapa abad lalu.
Tetapi ledakannya dalam industri makanan dan minuman moden menunjukkan ia sebagai alternatif yang sangat popular untuk susu lembu.