Permata Rosmah diteruskan, tetapi harus diaudit, dikaji, kata Wan Azizah

Permata Rosmah diteruskan, tetapi harus diaudit, dikaji, kata Wan Azizah

Beliau berkata program itu merupakan program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan juga kebajikan kanak-kanak.

Free Malaysia Today
Dr Wan Azizah berkata pihaknya perlu mengaudit dan mengkaji termasuk melibatkan peruntukan, keberkesanan kos dan hasil program.
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Program PERMATA akan diteruskan tetapi ia perlu dikaji dan diaudit terlebih dahulu.

Beliau berkata program itu merupakan program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan juga kebajikan kanak-kanak.

“Program Permata dibawa ke perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Selain itu, program ini juga akan meningkatkan kemahiran perkembangan kanak-kanak. Ia adalah sesuatu yang suci dan murni.

“Apa yang baik, kita sebagai kerajaan Pakatan Harapan, seperti perdana menteri katakan, akan teruskan. Tetapi bagaimana? Kita perlu mengaudit dan mengkaji termasuk melibatkan peruntukan, keberkesanan kos dan hasil program,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah yang mengangkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri semalam, hari ini memulakan tugas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

Beliau berkata tiada tempoh ditetapkan untuk mengkaji dan mengaudit program Permata itu.

Selain itu, beliau yang juga menteri wanita dan pembangunan keluarga berkata beliau dan Dr Mahathir setuju program Permata lebih relevan untuk diletakkan di kementerian itu berbanding Jabatan Perdana Menteri.

Program Permata yang mula dilaksanakan pada 2007 adalah cetusan idea isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor merangkumi Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja dan Permata Kurnia.

Ia memberi tumpuan terhadap usaha mendidik kanak-kanak pada peringkat awal bagi mengembangkan potensi dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.