
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata PAS berpendirian skandal 1MDB perlu disiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memastikan kebenarannya.
“Apa yang disebut sebagai ‘puas hati’ itu ialah PAS berpuas hati dengan pelan penstrukturan atau rasionalisasi hutang 1MDB dilakukan Arul Kanda sebagai ketua pegawai eksekutif 1MDB.
“Ada pun berkait dengan apa jua skandal mengenai 1MDB maka PAS tetap dengan cadangan awal kita sejak dahulu iaitu tubuh RCI,” katanya.
Ogos tahun lalu, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor sebagai berkata partinya berpuas hati dengan penerangan mengenai hutang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang oleh Arul Kanda Kandasamy.
“Secara keseluruhan bagi pihak kami, kita berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat Arul khusus pelan rasionalisasi yang telah dicadang beliau bagi mengatasi kemelut berlaku dalam 1MDB,” kata Tuan Ibrahim.
Arul Kanda memberikan penerangan kira-kira 2 jam kepada Tuan Ibrahim dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Nasrudin berkata PAS berharap RCI dilakukan terhadap isu 1MDB, dan isu berkaitan tragedi Memali, Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja) dan Bumiputera Malaysia Finance (BMF).
“Tegakkan undang-undang bukan secara terpilih, kita juga tidak mahu pengadilan secara terpilih,” katanya.