
Dalam catatan di Facebook hari ini, beliau berkata, ini boleh dilakukan melalui pendekatan kerohanian dan moral yang mantap.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu mengucapkan tahniah kepada Maszlee atas pelantikannya dalam Kabinet dan berharap beliau akan memperbaiki mutu pendidikan negara mengikut konteks ta’lim, tarbiyah dan ta’dib yang sebenar.
“Pastikan kurikulum pendidikan Islam kita suci dari unsur-unsur ajaran Wahhabi dan Syiah!
“Jika sesiapa yang bersumpah atas nama Allah…maka berkhidmatlah atas nama kebenaran dan kebaikan. Ingatlah, Kita semua bakal menjadi mayat dan dipersoal di akhirat.”
Pelantikan Maszlee sebagai menteri pendidikan berdepan bantahan beberapa pihak atas dakwaan beliau mempunyai kecenderungan terhadap fahaman Salafi dan sokongannya terhadap pendakwah India, Dr Zakir Naik.
Bagaimanapun, ramai pemimpin dan aktivis, termasuk Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Ong Kian Ming tampil mempertahankan Maszlee.
Zamihan pula mengundang kontroversi pada Oktober lalu selepas ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam yang mempertikaikan pandangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mengenai sebuah dobi di Muar yang enggan menerima pakaian bukan Islam.
Beliau turut mempersoalkan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) kerana menganggap Arab Saudi tidak layak menjalankan tanggungjawab itu, di sebalik pelbagai laporan mengaitkan aliran Wahabi yang diikuti agamawan Arab Saudi dengan beberapa pendirian melampau di pihak IS.
Pada 16 Oktober, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik tauliah Zamihan untuk mengajar agama, sambil menyifatkan isi kandungan ceramahnya “rasis” dan “kurang beradab”.
Ia disusuli dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan berkata, kerajaan dalam proses mengambil tindakan “dalaman” ke atas Zamihan, susulan beberapa siri kenyataan penceramah agama itu yang dilihat tidak seiring dasar kerajaan.
Zamihan merupakan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang dipinjamkan Kementerian Dalam Negeri untuk menjalankan program pemulihan ke atas suspek militan di penjara.