
Silibus pembelajaran masa kini semakin sukar sehinggakan ibu bapa berpendidikan pun menghadapi kesukaran mengajar, apatah lagi kepada kanak-kanak semuda Tahun 1, 2 atau 3 yang masih mentah.
Mengetengah konteks tersebut, seorang lelaki yang menggunakan nama, ZF Zamir di laman sosial Facebooknya berkongsi keluhan rakannya jika pelantikkan Menteri Pendidikan yang baharu, Dr Maszlee Malik mampu mengubahnya.
“Mir, agak-agak Dr Maszlee akan ubah tak silibus melampau aras tinggi untuk anak di sekolah? Plus agak-agak dia tau tak perangai Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) & Lembaga Peperiksaan yang tak seiring sejalan? Plus dia tau tak pegawai kat MOE selalu kondem cikgu saja tanpa mahu mendengar keperluan sebenar murid-murid kat sekolah?,” soalan yang ditulis oleh rakan Zamir dalam mesej Whatsapp di antara mereka.

Zamir memuat naik mesej tersebut beserta gambar petikan dari buku dipercayai Tahun 1 sambil meluahkan perasaanya terhadap nasib kanak-kanak sekarang.
Tambah rakannya, melihatkan soalan peperiksaan Tahun 1 itu, dia kasihan melihat anaknya menangis kerana tidak boleh menjawab.
“Aku tengok soalan memang susah, format sama macam tahun 6, cuma direndahkan aras dan dikurangkan panjang petikan.
“Aku tak faham kenapa dari Tahun 1 sibuk nak ikut format ni? Zaman kita dulu jawab soalan Bahasa Melayu darjah 1 seronok je mewarna, suai, isi tempat kosong, sambung ayat. Ini dah jawab petikan. Cuba tengok buku teks dan buku aktiviti Tahun 1 – Tahun 3, tinggi aras soalan, anak baru terkial-terkial nak baca dan eja, dah suruh faham petikan dan jawab soalan pemahaman,” tambahnya.
Tidak ketinggalan, rakannya itu juga menulis situasi yang dihadapi para guru dalam membolehkan kanak-kanak itu memahami format pengajaran tersebut.
“Cikgu biasanya okay je, akan cari jalan. Tapi kalau begitulah bentuknya dari Tahun 1 hingga ke Tahun 6, ya Allah betapa bosannya.
“Kalau cakap kat MOE, kat BPK, ingat diorang nak terima ke? Balik-balik cikgu juga yang salah, sebab dia cakap cikgu juga yang gubal silibus. Cuma yang kita tak tahu, cikgu yang macam mana yang dia orang ambil ini? Background macam mana? Jelas tak konsep perkembangan kanak-kanak?”
Katanya, dia kesal dengan pendekatan pendidikan negara yang berpendapat anak cerdik hasil daripada silibus dan soalan yang susah dan bukannya dengan memberi mereka ruang berkembang di luar akademik mengikut kapasiti masing-masing.
Zamir pula berkata, walaupun tidak pasti jika soalan rakannya itu akan dijawab oleh Dr Maszlee tetapi adalah penting untuk disampaikan kepada beliau dengan maklumat yang betul.
“Selama ni dalam semua laporan tak tulis satu pun keburukan MOE ni sebab nak puaskan hati orang atas. Aku rasa ini cabaran baru. Untuk bekerja bersama-sama birokrat dalam MOE serta yang paling penting adalah untuk cakap kepada menteri perkara-perkara yang menyakitkan macam ni,” katanya dalam muat naik itu.
Katanya lagi, untuk mengubah pemikiran birokrat termasuk ketua jabatan di setiap lapisan sememangnya satu cabaran besar.
Posting tersebut dikongsi lebih 7,800 kali dan menerima pelbagai respon dari para netizen yang turut mengakui situasi pendidikan sekolah Tahap 1.
Kalau macam itu, kita nantikan kalau-kalau Dr Maszlee akan menjawab keluhan yang disampaikan menerusi laman sosial ini.