Sultan Selangor perkenan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi

Sultan Selangor perkenan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi

Setiausaha sulit Sultan Selangor berkata baginda beri perkenan itu selepas disembah maklum, Azmin bersetuju terima jawatan menteri di peringkat kerajaan Persekutuan.

Free Malaysia Today
Azmin akan kekal pegang jawatan sebagai menteri besar Selangor buat sementara waktu hingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar baru dapat dijalankan. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan bagi Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali memegang jawatan menteri hal ehwal ekonomi.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda memberi perkenan itu selepas disembah maklum oleh Azmin bahawa beliau bersetuju menerima jawatan menteri di peringkat kerajaan Persekutuan menerusi portfolio berkenaan.

Beliau berkata menteri besar membuat keputusan itu setelah mendapat penjelasan dan pengesahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai skop kerja dan bidang kuasa kementerian baru.

“Azmin, bagaimanapun akan kekal memegang jawatan sebagai menteri besar Selangor buat sementara waktu hingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar baru dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

“Dalam masa sama Mohamed Azmin perlu mengemukakan senarai calon-calon Menteri Besar Selangor baharu untuk penelitian dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebelum lantikan menteri besar tersebut dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Munir berkata Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor sebaik sahaja Sultan Sharafuddin berkenan melantik menteri besar baharu.

Ia selaras Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Pada Jumaat lepas, Dr Mahathir mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet termasuk menamakan Mohamed Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Mohamed Azmin, 54, yang juga timbalan presiden PKR mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor untuk penggal ke-2 di hadapan Sultan Selangor pada 11 Mei lepas.

Beliau mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 23 Sept 2014.

Dua wakil rakyat Selangor yang disebut-sebut bakal menggantikan Mohamed Azmin ialah Adun Sungai Tua Amirudin Shari dan Adun Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.