Anwar jumpa bekas presiden Indonesia BJ Habibie di Jakarta

Anwar jumpa bekas presiden Indonesia BJ Habibie di Jakarta

Ini adalah lawatan pertama Anwar ke luar negara sejak dibebaskan dari penjara dan pertemuan itu atas undangan BJ Habibie sempena ulang tahun ke-20 Reformasi Indonesia.

Free Malaysia Today
Anwar menemui BJ Habibie di kediaman bekas presiden itu di Jakarta, hari ini. (Gambar Facebook)
JAKARTA:
Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan bekas presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie, sempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia.

Bacharuddin atau lebih dikenali BJ Habibie adalah presiden Indonesia ke-3, menggantikan Presiden Soeharto dan memegang jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman BJ Habibie di Jalan Patra Kuningan, Jakarta, pada 1 tengah hari waktu tempatan.

Anwar dalam satu kenyataan sebelum pertemuan itu berkata, pertemuan itu atas undangan BJ Habibie sempena ulang tahun ke-20 Reformasi Indonesia.

“1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia. 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran BJ Habibie.

“Manakala 2 September 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional yang akhirnya selesai hampir 2 dekad kemudian, pada 9 Mei 2018,” katanya.

Anwar berkata, pertemuan dan perbincangan dengan BJ Habibie akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara serta memperkukuh iltizam melaksanakan agenda reformasi di Malaysia.

Pada 16 Mei lepas, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada Anwar.

Pengampunan penuh Anwar dibentang dan dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, 71, menjalani hukuman 5 tahun penjara pada Februari 2015, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat.

Anwar sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.