Bon 1MDB naik 17% selepas Dr M janji siasatan penuh

Bon 1MDB naik 17% selepas Dr M janji siasatan penuh

Bon yang mempunyai pencapaian paling teruk di dunia itu minggu lepas, melonjak ekoran keyakinan pelabur terhadap janji Dr Mahathir untuk menyiasat dana tersebut.

Free Malaysia Today
Pengurus dana menyambut baik siasatan penuh ke atas skandal 1MDB, dengan polis merampas beratus kotak barangan mewah dari sebuah kondominium yang dikaitkan dengan Najib minggu ini.
MEXICO CITY:
Jualan bon 1MDB, dana kerajaan yang dilanda skandal meningkat kira-kira 17% minggu ini berbanding dana lain separa-kerajaan berasaskan dolar di negara membangun, walaupun menghadapi siasatan anti-rasuah oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bon 1MDB yang matang pada 2023, dan paling lemah prestasinya di dunia hanya seminggu lepas, melonjak berikutan keyakinan pelabur yang Dr Mahathir akan menunaikan janjinya untuk menyiasat dana tersebut.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa AS$3.5 bilion hilang daripada 1MDB yang ditubuhkan di bawah seliaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak. Prestasi bon berkenaan masih 2.5% lebih rendah pada tahun ini.

“Pasaran nampaknya lega dengan komen terbaru Perdana Menteri, Dr Mahathir,” kata Morgan Harting, pengurus dana di AllianceBernstein yang memiliki bon berkenaan pada Mac lalu, tetapi enggan mendedahkan jika beliau sudah menjualnya.

Kenyataan Dr Mahathir menunjukkan “beliau akan memburu orang, bukannya harta (dalam dakwaan rasuah itu), dan ini diterima baik oleh pasaran bon,” kata Harting.

Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir dikatakan sedang mempertimbangkan siasatan ke atas Najib atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Semalam, polis menggeledah 2 unit kondominium di Kuala Lumpur dalam sebahagian penyiasatan ke atas skandal 1MDB dan merampas 284 kotak mengandungi beg tangan dan 72 beg mengandungi wang tunai dan barang kemas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.