Adun BN Sabah: Mahkamah perlu tentukan had kuasa gabenor

Adun BN Sabah: Mahkamah perlu tentukan had kuasa gabenor

Adun Karanaan, Masidi Manjun berkata saman Musa Aman tiada kaitan perebutan kuasa, tetapi pematuhan kepada perlembagaan negeri.

Free Malaysia Today
Masidi Manjun berkata, saman Musa bukan berkaitan perebutan kuasa untuk menjadi ketua menteri, tetapi tentang sikap menghormati dan mematuhi undang-undang serta perlembagaan Sabah. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Saman Pengerusi Umno Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung jawatan ketua menteri tiada kaitan perebutan kuasa, sebaliknya pematuhan undang-undang dan perlembagaan negeri itu, kata seorang adun parti itu hari ini.

Penolong Setiausaha Umno Sabah dan Adun Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, saman Musa itu perlu bagi menentukan had kuasa gabenor negeri.

Musa memohon mahkamah memutuskan sama ada beliau masih ketua menteri Sabah yang sah dari segi undang-undang.

Minggu lepas, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan gabenor atau Yang Dipertua Negeri dan meminta Musa meletak jawatan selepas Shafie mendapat sokongan mencukupi untuk mencapai majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri.

Masidi berkata, saman itu bukanlah berkaitan perebutan kuasa untuk menjadi ketua menteri, tetapi tentang sikap menghormati dan mematuhi undang-undang serta perlembagaan Sabah.

“Ia juga perlu bagi membolehkan mahkamah menentukan dan mentafsirkan peruntukan undang-undang berhubung kuasa TYT Yang Dipertua Negeri di bawah perlembagaan dalam pelantikan ketua menteri.

“Tindakan undang-undang yang difailkan Musa ialah peluang untuk mahkamah memutuskan secara muktamad had kuasa ketua perlembagaan negeri dalam melantik seorang lagi ketua menteri beberapa hari selepas seorang lagi ketua menteri mengangkat sumpah.”

Katanya, undang-undang perlu dikuatkuasakan tanpa sebarang gangguan.

Beliau berkata, pakar perlembagaan, termasuk bekas peguam negeri Sabah mengesahkan Musa mendapat majoriti mudah 31 adun, apabila 2 wakil rakyat Parti Soladiriti Tanah Airku (STAR) bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan 29 adun BN yang diketuai Musa.

STAR bebas memilih mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan Sabah sebagai penentu dalam antara BN dan gabungan Warisan-Pakatan Harapan yang masing-masing memenangi 29 kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.