Perodua beri rebat tunai 6% menjelang 0% GST

Perodua beri rebat tunai 6% menjelang 0% GST

Bayaran balik itu ditawarkan kepada pelanggan yang membeli, melakukan servis serta pembelian alat ganti kereta Perodua mulai hari ini hingga 31 Mei ini, sebelum GST 0% dilaksanakan mulai 1 Jun ini.

KUALA LUMPUR:
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan mengembalikan bayaran penuh cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada pelanggan yang membeli, melakukan servis serta pembelian alat ganti kereta jenama itu mulai hari ini hingga 31 Mei ini, sebelum GST berkadar sifar dilaksanakan 1 Jun ini.

Bermula esok juga, pelanggan Perodua akan menerima rebat tunai segera sebanyak 6% bagi kenderaan yang diservis.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata pengeluar kereta itu akan memulangkan sepenuhnya jumlah GST itu secara tunai kepada pelanggan yang mendaftar atau untuk tujuan servis, selain pembelian alat ganti.

“Inisiatif rebat GST itu memaparkan komitmen kami yang sentiasa mengutamakan pelanggan. Mereka yang berminat boleh mengunjungi 179 cawangan jualan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zahari, rebat GST itu merupakan inisiatif Perodua dan diharapkan akan dimanfaatkan pelanggan di cawangan jualan mahupun pusat servisnya.

Bagi pelanggan yang membuat transaksi di mana-mana pusat servis hari ini, Perodua akan mengembalikan bayaran itu dalam bentuk e-baucar yang sah mulai 1 Jun ini.

Jumlah rebat GST itu berdasarkan harga jualan bersih kenderaan itu tanpa aksesori GearUp, insurans dan bayaran jualan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.