Jumlah kos ECRL melebihi RM55 bilion, kata Daim

Jumlah kos ECRL melebihi RM55 bilion, kata Daim

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu berkata, biar kerajaan yang mengumumkan kos keseluruhan projek ECRL.

Free Malaysia Today
Daim Zainuddin berkata, jumlah keseluruhan projek ECRL melebihi RM55 bilion kerana kos untuk fasa lain belum diumumkan.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata kos keseluruhan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebenarnya melebihi RM55 bilion.

Katanya, RM55 bilion yang didedahkan sebelum ini hanya meliputi fasa pertama.

“Fasa ke-2 pula adalah RM11 bilion. Fasa lain pula jumlahnya lebih (banyak). Ini jumlah sebenar kita peroleh daripada mesyuarat tadi.

“Saya rasa biar kerajaan yang umum jumlah sebenar,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, hari ini.

Pada 21 Oktober 2016, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 mengumumkan kos pembinaan ECRL ialah RM55 bilion.

Pembinaan ECRL dijangka siap pada Jun 2024 dengan fasa pertama landasan kereta api sepanjang 600km itu dari Lembah Klang ke Kuantan, fasa ke-2 dari Kuantan ke Kuala Terengganu, dan ke-3 dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu dan Tumpat.

Daim bagaimanapun enggan mengulas sama ada kerajaan wajar meneruskan projek ECRL.

“Sebagai seorang warganegara negara ini, adakah anda mahu ia diteruskan?” soalnya.

Sementara itu, Daim berkata, semua projek mega di negara ini akan dikaji semula sebelum cadangan dibentangkan kepada kerajaan.

“Kami perlu kaji semula semua projek mega. Jika ia tidak memanfaatkan kita, maka kita perlu duduk dan bincang.”

Kayanya, kajian semula projek mega tidak akan menjejaskan hubungan baik dengan China.

“Kami mempunyai satu hubungan lama dengan China dan selama 22 tahun ia di bawah (pemerintahan) Tun Dr Mahathir Mohamad, kita tidak pernah ada satu masalah dan sentiasa bekerjasama dengan rapat.”

Dalam pada itu, katanya, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan juga menjangkakan kutipan RM3o bilion daripada pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), selepas 0% cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun ini.

Daim berkata, Majlis Penasihat Kerajaan yang turut dianggotai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Prof Jomo Kwame Sundaram serta Tan Sri Oh Siew Nam yang mewakili Tan Sri Robert Kuok, akan menemui wakil Petronas dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, minggu depan.

https://www.youtube.com/watch?v=ttQ6Y9Nqwyk&feature=youtu.be

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.