Perdana menteri Singapura bakal bertemu Dr M pada Sabtu ini

Perdana menteri Singapura bakal bertemu Dr M pada Sabtu ini

Lee berkata Singapura sentiasa berhubungan baik dengan Malaysia semasa kerajaan dipimpin bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak serta pentadbiran Dr Mahathir sebelum itu.

Free Malaysia Today
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata beliau bercadang memberitahu Dr Mahathir agar dapat bekerjasama semula dengan beliau demi faedah bersama. (Gambar AFP)
SINGAPURA:
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan di Parlimen hari ini beliau akan melawat Malaysia Sabtu ini untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan barunya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir, pemimpin Pakatan Harapan, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei selepas gabungan itu memenangi pilihan umum yang baru selesai, dengan itu menjadi perdana menteri pertama paling tua di dunia.

“Ekspektasi kerajaan baru Malaysia begitu tinggi, dan saya fikir Dr Mahathir cukup sibuk dalam beberapa hari akan datang. Tetapi saya bercadang menemui beliau pada Sabtu, dan memberitahunya saya berharap dapat bekerjasama semula dengan beliau demi faedah bersama,” Lee disebut sebagai berkata demikian oleh Channel NewsAsia semasa perbahasan Ucapan Presiden.

Lee menambah beliau juga sudah biasa dengan ahli politik Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya juga cukup kenal Anwar Ibrahim kerana beliau merupakan rakan sejawatan saya semasa menjadi timbalan perdana menteri,” kata Lee.

Anwar dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara 3 tahun setelah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menyentuh cabaran luar yang dihadapi Singapura dalam ucapannya di Parlimen, Lee berkata Singapura sentiasa mempunyai hubungan baik dengan “jiran terdekat” Malaysia di bawah kerajaan yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta pentadbiran yang diketuai Dr Mahathir sebelum itu.

“Kami juga bekerjasama dengan Dr Mahathir dan dengan beberapa pasukan beliau dahulu. Kami menyiapkan projek bersama Malaysia bila Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu, termasuk pembinaan Linkedua di Tuas,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.