
Ketua kluster sejarah, warisan dan sosiobudaya itu berkata projek pendidkan cetusan Rosmah itu wajar tidak dimansuh dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Walaupun program itu dikaitkan dengan isteri bekas perdana menteri dahulu, kita harus lihat projek itu satu projek yang murni iaitu projek pendidikan mencari bakat anak-anak dan digilap bakatnya,” katanya.
Sebelum ini, Pakatan Harapan mahu projek Permata dimansuhkan bagi mengurangkan belanja kerajaan, atau diletakkan bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bukan bawah Jabatan Perdana Menteri.
Teo menganggap projek Permata, yang merangkumi program Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Permata Remaja dan Permata Kurnia, berkembang pesat dan berjaya.
“Kita bezakanlah politik dengan pendidikan. Maksudnya hal pendidikan apa-apa yang baik yang telah dibina dahulu kita teruskan, kita tambah baik.”
Projek Permata memberi tumpuan pada usaha mendidik kanak-kanak pada peringkat awal bagi mengembangkang potensi dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin berpendapat projek-projek pendidikan seperti Permata perlu dirombak dan diletakkan bawah satu agensi.
“Program-program yang baik akan diteruskan, program-program membazir wang rakyat akan dihentikan. Saya rasa penaung sekarang Rosmah Mansor perlu diberhentikan kerja serta merta,” katanya.
Menurutnya, projek pendidikan seharusnya diterajui oleh golongan pakar bidang dan jawatan penaung tidak diperlukan.
“Jangan masuk isteri sebagai penaung. Semua pakar sahaja yang menerajui,” katanya.