TPPA akan jejas manifesto PH, kata NGO

TPPA akan jejas manifesto PH, kata NGO

Pengerusi Bantah TPPA, Nizam Mahshar memberi contoh syarikat antarabangsa melalui TPPA akan menyebabkan gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan PH terpaksa dikaji semula.

Free Malaysia Today
Nizam Mahshar (3 dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Bantah TPPA dan wakil Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengadakan sidang media di Bangsar hari ini.
KUALA LUMPUR:
Badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bantah TPPA menggesa kerajaan baru tidak meneruskan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik yang diluluskan pada 2016 kerana ia akan menjejaskan manisfeto Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Bantah TPPA, Nizam Mahshar memberi contoh syarikat antarabangsa melalui TPPA akan menyebabkan gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan PH di seluruh negara terpaksa dikaji semula.

Katanya, NGO itu konsisten membantah perjanjian itu kerana ia tidak memberi manfaat kepada ekonomi serta jejaskan kedaulatan negara.

“Pada asasnya, Bantah TPPA wujud sejak 2013 dan kita memandang bahawa kita menyambut kerajaan baru dan mengharapkan komitmen mereka untuk tidak meneruskan perjanjian TPPA yang dipersetujui Barisan Nasional.

“Kita juga mahu kerajaan melihat kembali perjanjian ini untuk memastikan impak, manfaat dan kedaulatan negara terjamin,” katanya pada sidang media di Bangsar, hari ini.

PH berjanji akan melaksanakan 3 daripada 10 perkara dalam manifestonya dalam 100 hari pertama pentadbiran kerajaannya untuk meringankan beban hidup rakyat.

Ia termasuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar serta menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500.

Pada 27 Januari 2016, seramai 127 ahli Parlimen menyokong dan 84 undi menentang usul TPPA menerusi undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 23 Januari 2017 mengumumkan Washington menarik diri daripada TPPA dan akan memfokuskan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta).

Trump mendakwa TPPA menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS dan membawa keluar syarikat tempatan dari negara itu. Selain AS, TPPA turut disertai Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

TPPA kemudiannya dijenamakan semula sebagai Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP).

Pada 9 Mac lalu, Malaysia bersama 10 negara anggota lain menandatangani CPTPP yang disifatkan langkah ke depan perkongsian perdagangan dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.