
Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) berkata, mereka masih menunggu pengumuman kerajaan sama ada harga minyak akan disemak semula esok.
“Saya hanya dengar daripada media harga akan kekal, seperti minggu sebelumnya,” kata Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz kepada FMT sambil menambah belum ada pengumuman daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad belum menamakan menteri untuk kebanyakan jawatan Kabinetnya yang kosong selepas kekalahan mengejut Barisan Nasional pada pilihan raya umum Rabu lalu.
Beliau sebelum ini berkata akan menyelia kementerian itu sementara menunggu pengumuman seterusnya.
PH menerusi manifesto pilihan raya umumnya berjanji akan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi secara bersasar dalam 100 hari pentadbiran.
Sejak tahun lalu, harga runcit minyak ditentukan sistem apungan terurus berdasarkan harga minyak mentah dunia, dengan harga diesel, RON95 dan RON97 diumumkan setiap Rabu.
Bagaimanapun, tiada perubahan harga petrol dan diesel sejak 2 bulan lepas.
Khairul yang sebelum ini mengkritik sistem apungan terurus itu berkata, peruncit kini tertanya-tanya jika mekanisme baru akan diwujudkan untuk memastikan kestabilan harga minyak.
“Kami ada idea untuk mengatasinya. Tetapi, harapan saya ialah kita boleh duduk berbincang dengan kerajaan baru,” katanya sambil menambah perlu ada penyelesaian “menang-menang”.