NSTP ajak kakitangan berubah kepada era selepas BN

NSTP ajak kakitangan berubah kepada era selepas BN

Kakitangan 3 akhbar harian yang diterbitkan kumpulan media pro-Umno itu diminta berbuat demikian dalam taklimat khas bagi berubah dari segi editorial susulan kekalahan mengejut BN.

Free Malaysia Today
Jalil Hamid berkata, NSTP mahu mengembalikan era 80-an dan 90-an di mana mereka boleh menikmati kebebasan dalam laporan berita.
KUALA LUMPUR:
Kakitangan New Straits Times dan 2 akhbar di bawah syarikat sama diminta melakukan penyesuaian terhadap “persekitaran politik baru” supaya kumpulan media pro-Barisan Nasional (BN) itu kekal relevan selepas kekalahan mengejut gabungan diketuai Umno itu, minggu lalu.

Dalam taklimat khas pada hari pertama bekerja selepas cuti panjang pasca pilihan raya umum, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Seri A Jalil Hamid berkata, ada keperluan untuk akhbar menyesuaikan diri dengan pendapat umum.

“Kita perlu membuat penyesuaian dari segi editorial. Sama ada isi kandungan, jualan iklan, pengeluaran, sumber manusia dan banyak lagi. Kita harus ubah mengikut persekitaran politik,” katanya kepada kira-kira 200 kakitangan di ibu pejabat syarikat itu Jalan Riong, hari ini.

Akhbar utama NSTP, New Straits Times antara pengkritik kuat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) ketika kempen pilihan raya umum baru-baru ini.

Pada malam menjelang hari mengundi, Jalil mengecam Dr Mahathir dengan menyifatkan ucapan terakhir pengerusi PH itu di Langkawi terlalu mengikut skrip, dibuat-buat, “antiklimaks dan mengecewakan”.

Jalil turut mempersoalkan mereka yang menghadiri program Dr Mahathir itu dan penonton yang menyaksikan ucapannya secara langsung di Facebook.

“Beliau berucap dalam dewan kecil berhawa dingin yang menjadikan jumlah mereka yang hadir kelihatan ramai. Dan beliau kerap menggunakan ayat biasanya. Beliau tidak membuat perkara baru.

“Dr Mahathir atau pakar strategi media sosialnya berkata, beliau akan memperoleh 10 juta penonton di Facebook. Tetapi, akhirnya beliau hanya mendapat 250,000 tontonan di Facebook,” tulis Jalil.

Jalil kemudian memuji bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, di mana ucapannya disiarkan secara langsung di stesen televisyen utama, sama dengan masa Dr Mahathir berucap.

“Di Pekan, Najib Razak bercakap dari hati, bukan mengikut kiu automatik, tidak dibuat-buat dan kelihatan lebih bertenaga semasa menyampaikan visinya untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam artikel yang diterbitkan pada hari mengundi.

Dalam taklimatnya hari ini kepada kakitangan NST, Berita Harian dan Harian Metro, Jalil berkata akhbar NSTP kekal neutral susulan kemenangan PH.

“Kami melaporkan berita dari kedua-dua pihak. Kandungan yang kami terbitkan sejak hari mengundi juga neutral dan tidak berat sebelah,” katanya sambil menambah iklim politik sekarang memberi peluang kepada syarikat itu meningkatkan kewibaan mereka.

“Kami mahu mengembalikan era 80-an dan 90-an di mana kami boleh menikmati kebebasan.

“Kami masih menjalankan perniagaan seperti biasa. Tiada sekatan berhubung terhadap apa yang kami boleh laporkan. Kami harap dapat mengekalkan pembaca dan menarik pembaca baru.

“Kami sedang melakukan penyesuaian untuk era baru negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.