
Stesen televisyen itu dalam laporannya sebelum ini mendakwa ketua umum PKR itu terlibat dalam pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkata plaintif sudah membuktikan kesnya terhadap TV3 berhubung kebarangkalian keseimbangan.
“Defendan gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan ada niat jahat dalam laporannya.”
Hakim memerintah TV3 membayar RM600,000 sebagai ganti rugi am dan RM250,000 bagi ganti rugi teladan serta teruk kepada Anwar yang sedang dipenjarakan atas kesalahan meliwat.
Hakim turut mengarahkan TV3 membayar kos RM40,000 kepadanya.
Hakim berkata, editor TV3, Kamaruddin Mape yang menulis skrip itu, tidak mengamalkan kewartawananan bertanggungjawan kerana tidak mengesahkan artikel itu dengan Anwar.
Zaidi berkata, dakwaan Anwar sebagai “dalang” di sebalik pencerobohan Lahad Datu berniat jahat.
Katanya, mahkamah memberi ganti rugi teruk kepada Anwar kerana defendan berkeras dibicarakan walaupun akhbar Utusan Melayu Sdn Bhd memutuskan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.
Anwar pada mulanya memfailkan saman RM100 juta terhadap Utusan dan TV3 pada Mac 2013.
Beliau menyelesaikan kes itu dengan Utusan dan editornya, Abdul Aziz Ishak pada Oktober 2016, di mana akhbar berbahasa Melayu itu membayar RM50,000 sebagai sebahagian persetujuan penyelesaian.
Kesnya terhadap TV3 dan 2 editor stesen televisyen itu diteruskan, memandangkan kedua-dua pihak tidak dapat mencapai penyelesaian.
Utusan menerbitkan laporan Lahad Datu itu dalam edisi 2 Mac 2013, manakala TV3 menyiarkan semula artikel itu untuk program berita Buletin Utama pada malam sama.
Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan mewakili Anwar, manakala peguam, Liew Teck Huat mewakili TV3.
Laporan TV3, Utusan berdasarkan kenyataan Mazlan, kata Anwar