Mat Sabu kata putus lantikan Kabinet di tangan PM

Mat Sabu kata putus lantikan Kabinet di tangan PM

Presiden Amanah menjawab Rafizi Ramli yang mempersoalkan pengumuman portfolio Kabinet utama untuk Amanah, PPBM dan DAP.

PETALING JAYA:
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang hari ini dinamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri pertahanan, tampil mempertahankan keputusan perdana menteri menamakan dirinya dan 3 individu lain untuk jawatan Kabinet.

Bercakap kepada FMT, Mohamad tidak bersetuju dengan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang berkata perbincangan masih sedang berjalan antara Dr Mahathir dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pemilihan anggota Kabinet, kerana menurutnya ia sudah diputuskan di mesyuarat presiden Pakatan Harapan.

Mohamad dinamakan Dr Mahathir untuk portfolio pertahanan, sementara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilantik menteri kewangan dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menteri dalam negeri. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik timbalan perdana menteri seperti yang dipersetujui beberapa bulan lalu.

Mohamad berkata walaupun parti komponen PH bebas mencadangkan calon untuk jawatan menteri, kata putus terletak di tangan perdana menteri.

“Terpulang kepada perdana menteri untuk melantik. Itu prerogatif dia,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang pelantikan sebagai menteri pertahanan, Mohamad berkata banyak yang beliau perlu pelajari.

Dia enggan menyatakan sama ada dia akan memperkenalkan sebarang dasar pertahanan, mengatakan pertama sekali beliau akan membincangkan perkara itu dengan Dr Mahathir.

Beliau juga enggan menyatakan sama ada akan berlaku perubahan dasar dalam pembabitan Malaysia dalam operasi yang diterajui Arab Saudi di Yemen.

“Kita akan berbincang tentang perkara itu,” kata Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.