Anwar: PKR berdiri teguh belakang Dr Mahathir

Anwar: PKR berdiri teguh belakang Dr Mahathir

Berikutan bantahan anggota kanan parti itu, ketua umum PKR berkata beliau menyampaikan kebimbangan parti kepada perdana menteri.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir berbual dengan Wan Azizah semasa menziarahi Anwar di hospital semalam. (gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata partinya berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bertujuan memberi jaminan berikutan bantahan anggota kanan parti itu mengenai pelantikan Kabinet.

Anwar berkata, beliau diziarahi oleh Dr Mahathir semalam di Hospital Pemulihan Cheras di ibu negara, di mana beliau dirawat selepas pembedahannya, dan menyalurkan kebimbangan pemimpin parti yang mahukan “pendekatan lebih inklusif dalam perundingan”.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan mengenai perundingan yang dimaksudkan.

“Dr Mahathir terima pandangan itu, tetapi semua keputusan mesti dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan,” kata Anwar.

Beliau juga meminta kepimpinan PKR memastikan kekuatan kerajaan persekutuan PH pimpinan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Ismail dipertahankan.

“Saya mendesak rakan semua yang baru memperoleh mandat rakyat supaya segera menunaikan tugas mereka untuk menyelamat dan membina semula negara.”

Semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, parti itu tidak ada dalam mesyuarat pemimpin parti ketika keputusan mengenai pelantikan jawatan Kabinet dibuat. Beliau berkata keputusan mengenai pelantikan mestilah dipersetujui semua 4 parti dalam pakatan itu.

Beliau berkata, barisan Kabinet baru masih dalam perundingan dengan Anwar, dan “PKR beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad.”

Dr Mahathir sebelum itu melantik Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, menteri pertahanan. Jawatan Kabinet selebihnya akan diumumkan kemudian.

Presiden PKR Wan Azizah Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan jawtan perdana menteri pada 10 Mei lepas.

Awal hari ini, bekas ahli PPBM Khairuddin Abu Hassan mendesak Rafizi menyuarakan rasa tidak puas hatinya mengenai pelantikan baru Kabinet melalui saluran dalaman PH, bukannya secara terbuka.

Isu menteri kanan: Khairuddin curiga motif Rafizi bercakap kepada media

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.