PKR pertikai Dr M selepas umum menteri kanan

PKR pertikai Dr M selepas umum menteri kanan

Rafizi Ramli berkata perkara ini belum dimuktamadkan dan Dr Mahathir masih dalam perbincangan dengan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR:
PKR mempertikaikan pengumuman 3 menteri kanan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan perkara itu belum dimuktamadkan dan pelantikan masih sedang dibincangkan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertikaian muncul selepas Dr Mahathir hari ini menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan.

Beberapa jam kemudian, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan mengatakan perbincangan antara Dr Mahathir dan Anwar sedang berjalan.

Beliau berkata Dr Mahathir dalam perjalanan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras untuk bertemu Anwar yang sedang menjalani rawatan.

“Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan.

“PKR yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan,” kata Rafizi, dan menambah ramai bertanyakan kepadanya tentang mengapa jawatan kanan tidak diberikan kepada PKR.

Dr Mahathir hari ini juga mengumumkan satu majlis penasihat untuk membantu kerajaan baharu. Ia dianggotai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, hartawan Tan Sri Robert Kuok, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram, pakar ekonomi, Muhammad Abdul Khalid, dan tokoh kewartawanan, Datuk A Kadir Jasin.

Majlis ini diketuai oleh Daim.

Dr Mahathir berkata 7 jawatan menteri penting lain akan diumumkan selepas mempertimbangkan nama yang dicadangkan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.