Musa ketua menteri ‘sah’ selepas angkat sumpah

Musa ketua menteri ‘sah’ selepas angkat sumpah

Peguam perlembagaan berkata YDP tidak boleh memecat Musa dan satu-satunya pilihan Shafie Apdal ialah membawa usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

Free Malaysia Today
Adun dari Umno dan Upko bersama Shafie (baju putih) di kediamannya semalam.
PETALING JAYA:
Pakar perlembagaan Sabah berkata, Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal tidak lagi boleh mencabar pelantikan pengerusi BN negeri, Tan Sri Musa Aman sebagai ketua menteri selepas mengangkat sumpah jawatan.

Peguam kanan, S Venugopal menolak dakwaan Shafie bahawa Musa Aman terikat dengan undang-undang untuk melepaskan jawatan selepas Warisan memperoleh sokongan 6 lagi Adun, memberinya undi majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Venugopal, penulis buku mengenai hak Sabah dan Sarawak di sisi Perlembagaan berkata, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat oleh Shafie selepas Musa mengangkat sumpah.

Beliau berkata, ketua negeri Sabah mempunyai kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk melantik ketua menteri, tetapi tidak mempunyai kuasa memecat.

Katanya lagi, walaupun Shafie boleh membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti Adun, satu-satunya langkah yang boleh diambil oleh Yang di-Pertua Sabah ialah meminta Musa meletakkan jawatan bagi membolehkan pelantikan baru dibuat.

“Kita tidak boleh ada negeri tanpa kerajaan. Untuk Sabah tidak ada ‘kebuntuan’. Semuanya jelas. Pelantikan adalah sah dan sempurna dengan adanya Kabinet negeri.

“Ini bukan seperti cara ‘koboi’ apabila seseorang boleh pergi ke istana dan memberitahu YDP bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti, dan atas sebab itu mesti dilantik dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri,” katanya kepada akhbar Daily Express.

“Penyingkiran ketua menteri hanya boleh dilakukan melalui usul undi tidak percaya oleh Adun sendiri. Ketua menteri mestilah meletakkan jawatan selepas kalah usul undi tidak percaya di DUN,” katanya.

Semalam Shafie mendesak Musa meletakkan jawatan atau berdepan akibatnya.

“Musa tidak lagi ada majoriti untuk terus berkuasa, dan oleh itu perlu meletak jawatan atau beliau melanggar perlembagaan negeri,” kata Shafie.

“Saya tidak mengiktiraf angkat sumpah Musa malam kelmarin (Khamis) atau pun pembentukan kerajaan negeri. Jadi saya harap beliau meletakkan jawatan secara sukarela.”

Beliau berkata, Warisan dan sekutu Pakatan Harapan (PH) kini menguasai 35 kerusi, dengan BN Sabah hanya 25 kerusi.

Venugopal berkata, gabenor atas budi bicaranya boleh memanggil Shafie ke istana untuk mendengar dakwaan beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.