Dr Mahathir akui halang Najib keluar negara

Dr Mahathir akui halang Najib keluar negara

Dr Mahathir berkata pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Free Malaysia Today
Perdana menteri berkata kerajaan mengambil langkah ini kerana tak mahu terganggu dengan ekstradisi dari negara luar. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui mengeluarkan arahan kepada imigresen untuk melarang bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar negara.

Beliau mengesahkan perkara itu selepas imigresen dalam kenyataan mengumumkan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, disenaraihitamkan dari keluar negara.

“Memang benar saya melarang Najib meninggalkan negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM.

Dr Mahathir menjelaskan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap Najib dan terdapat banyak aduan terhadapnya.

“Jika ada antara aduan itu didapati sah, kerajaan perlu bertindak segera. Kerajaan tak mahu terganggu dengan ekstradisi dari negara luar,” katanya.

Larangan imigresen ini menyusuli desas desus tentang sebuah jet persendirian dijadualkan berlepas ke Indonesia pada pukul 10.00 pagi tadi dengan Najib dan isteri disenaraikan sebagai penumpang.

Laporan media menyebut kapal terbang Legacy 650 itu dimiliki sebuah syarikat Indonesia kepunyaan tokoh perniagaan negara itu yang dikaitkan dengan Najib dan urus niaga Felda. Menurut laman web pengesan penerbangan, kapal terbang itu dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Subang tengah hari semalam.

Ramai petugas media menunggu pelepasan beliau dari Subang sejak 6.00 pagi tadi, 3 hari selepas disingkirkan daripada jawatannya, dan di celah-celah amaran oleh pemimpin Pakatan Harapan yang baru membentuk kerajaan tentang kemungkinan beliau diambil tindakan berikutan penglibatannya dalam skandal kewangan 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.