
MCA hanya memenangi 1 kerusi Parlimen pada PRU14 menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berjaya mempertahankan kerusi Ayer Hitam di Johor dengan mengalahkan Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong dengan majoriti tipis 303 undi.
MCA akan mengadakan mesyuarat “post mortem” dengan semua ahli Jawatankuasa Pusat di ibu pejabatnya, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Twitter stesen radio BFM, Liow menyalahkan prestasi teruk parti itu atas isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), kos sara hidup, Akta 355 dan kehadiran calon PAS yang menyebabkan perpecahan undi.
Liow sebelum ini dilaporkan berkata, MCA menerima keputusan rakyat pada PRU14. Beliau menggesa ahli parti terus bersatu dalam menghadapi perubahan dan cabaran masa depan bersama.
Presiden MCA itu kalah dalam pertandingan 3 penjuru di kerusi Parlimen Bentong yang disandangnya selama 4 penggal.
Liow memperoleh 23,684 undi, tetapi kehilangan 2,032 undi kepada Wong Tack dari DAP yang mendapat 25,716 undi. Calon PAS, N Balasubramaniam pula meraih 5,706 undi.
Calon MCA lain yang turut kecundang ialah bekas timbalan menteri pendidikan, Datuk Chong Sin Woon dan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Datuk Chua Tee Yong.