Dr M ingatkan saya kepada Lee Kuan Yew, kata bekas PM Singapura

Dr M ingatkan saya kepada Lee Kuan Yew, kata bekas PM Singapura

Goh Chok Tong berkata Dr Mahathir ingatkannya kepada ungkapan terkenal Lee Kuan Yew berkenaan kebangkitan walau semasa terlantar sakit.

Free Malaysia Today
Goh berkata Dr Mahathir dan rakan-rakan dan gabungan mencapai kemenangan yang menakjubkan.
SINGAPURA:
Perkembangan politik semasa di Malaysia menarik perhatian Goh Chok Tong, perdana menteri Singapura yang ke-2 menggantikan Lee Kuan Yew.

Apabila menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad bertarung dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mengingatkan saya kepada ungkapan terkenal Lee Kuan Yew, “Dari katil tempat saya terbaring sakit, walaupun anda akan menurunkan saya ke liang kubur dan saya rasa ada sesuatu tidak kena, saya akan bangkit.”

“Kita harus menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad atas kehendak dan usahanya yang bersemangat waja untuk bertarung bagi membetulkan apa yang difikirkannya sebagai ada sesuatu yang tidak kena berlaku di negaranya,” menurut catatan di laman Facebook beliau hari ini.

Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Dr Mahathir memenangi PRU14 yang baru berakhir.

Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-7 di Istana Negara di Kuala Lumpur semalam.

Beliau disifatkan sebagai perdana menteri tertua di dunia yang dipilih semula.

Goh berkata Dr Mahathir dan rakan-rakan dan gabungan mencapai kemenangan yang menakjubkan.

“Tahniah kepada mereka atas kejayaan mereka, dan kepada Dr Mahathir kerana menjadi perdana menteri Malaysia bagi kali ke-2,” katanya.

Goh berkata “apa sahaja yang berlaku di seberang tambak memberi kesan pihak yang lain.”

“Ini adalah detik bersejarah dan belum pernah berlaku sebelum ini bagi jiran terdekat kita. Kita mengucapkan selamat berjaya, dan menawarkan kepada Dr Mahathir dan kerajaan baru semangat muhibah dan persahabatan yang berterusan,” kata beliau dan mengakhirinya dengan singkatan nama GCT.

Goh menjadi perdana menteri Singapura yang ke-2 selama hampir 14 tahun dari 1990 hingga 2004.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.