
Majoriti pengundi Melayu di sana masih setia kepada Anwar dan keluarganya, yang membantu PKR mempertahankan kerusi Parlimen itu.

“Ramai ahli politik bertanding di sini. Dah tepu dah. Mereka datang dan pergi tetapi kami mahukan Anwar Ibrahim dan partinya untuk kekal di sini,” kata Siti, pengundi berusia 55 tahun di Kubang Semang.
Katanya, ramai yang masih menghargai sumbangan Anwar dalam mengubah kawasan pinggir bandar itu kepada keadaan hari ini.
“Kami ada kilang, pekerjaan, jalan raya sejak Anwar menjadi ahli Parlimen. Kami terhutang budi dengannya. Dan kami akan undi anak perempuannya, Nurul sebagaimana kami undi Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya merujuk isteri Anwar.
Anak sulung Anwar, Nurul Izzah bakal berdepan Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pertarungan 3 penjuru esok, manakala penyandang kerusi Permatang Pauh, Wan Azizah akan bertanding di kerusi Parlimen Pandan.
Walaupun kebanyakan pengundi yang ditemui FMT menunjukkan sokongan kepada PKR, masih ada yang menyokong BN.
Walaupun BN kalah di Permatang Pauh sejak 1999, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dianggap pesaing paling kuat setakat ini.
Zaidi, bekas guru yang kini ahli perniagaan, turun padang sejak 2008 dan terkenal dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau mencipta jenama sendiri yang dinamakan “Team Zaidi” sejak pilihan raya kecil 2015 untuk merapatkan dirinya dengan pengundi.
Baju, topi, jam, cawan dan cenderamata lain dengan jenama “Team Zaidi” diberikan kepada rakyat Permatang Pauh dan sasarannya ialah sekurang-kurangnya 3 dalam setiap 10 orang akan memakai atau menggunakannya.
Beliau turut mendekati orang Melayu di kubu kuat PKR itu dengan memberi nasi kandar berlauk ayam goreng kepada masjid selepas solat Jumaat.

Nampaknya, taktik itu berjaya memenangi hati sesetengah pengundi.
“Saya sudah bosan dengan PKR. Mereka datang dan pergi. Anwar selalu dipenjarakan. Sekurang-kurangnya Cikgu Zaidi orang sini, beliau tahu masalah kita dan sentiasa bersedia mendengar rintihan kami,” kata seorang pekerja kilang berusia 32 tahun.
Sebuah lagi parti yang turut bertanding di Permatang Pauh ialah PAS yang sering mendakwa jentera pilihan raya mereka dari zaman Pakatan Rakyat yang membantu PKR menang.

Prestasi PAS tidak baik pada pilihan raya umum lepas dengan hanya memenangi kerusi negeri Permatang Pasir di bawah Parlimen Permatang Pauh.
Tetapi, parti itu menaruh harapan kepada Ketua Pemuda PAS negeri, Hafnan Hamimi Taib Azamudden untuk menang kali ini. PAS berkempen menggunakan “agenda bersihnya” dengan berkata Pakatan Harapan dan BN berdepan pelbagai isu, tetapi bukannya parti Islam itu.
PAS pernah menang di Permatang Pauh pada pilihan raya umum 1978 menerusi Zabidi Ali dengan majoriti 860 undi. Zabidi kemudian kalah kepada Anwar pada pilihan raya umum 1982.
Anwar bertahan di Permatang Pauh sejak itu.
Parlimen Permatang Pauh mempunyai 74,171 pengundi berdaftar. Kerusi negeri terbesar di kawasan itu adalah Seberang Jaya dengan 31,253 pengundi, diikuti Permatang Pasir (23,583 pengundi) dan Penanti (19,335 pengundi).
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14