MCA buat program skala kecil elak konfrontasi di Ipoh

MCA buat program skala kecil elak konfrontasi di Ipoh

Jimmy Loh berkata, DAP sengaja mencetuskan ketegangan dengan mengadakan ceramah di lokasi sama seperti dirancang MCA.

Free Malaysia Today
Jimmy Loh berkata, MCA mengadakan program dan ceramah pada skala lebih kecil.
IPOH:
Pemimpin MCA di Ipoh Timur dan Ipoh Barat tidak menonjolkan diri sepanjang tempoh berkempen kali ini bagi mengelakkan konfrontasi dengan DAP.

Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA Perak, Jimmy Loh memberitahu FMT, partinya mengadakan program dan ceramah pada skala lebih kecil.

“Pemimpin kami mengadakan sesi pertemuan kecil dengan pengundi, mungkin antara 100 hingga 200 orang, biasanya secara tertutup bagi mengelakkan konfrontasi dengan pemimpin DAP yang selalunya mengadakan ceramah secara terbuka dan dekat dengan lokasi program kami.

“Kami juga menghantar jemputan pada saat-saat akhir bagi memastikan pembangkang tidak tahu tentangnya,” katanya di ibu pejabat MCA Perak hari ini.

Free Malaysia Today
Ibu pejabat MCA Perak di Ipoh.

Loh mendakwa DAP sengaja mencetuskan ketegangan dengan mengadakan ceramah mereka di lokasi sama yang dirancang MCA.

“Itu rancangan mereka memulakan pertengkaran dan mencipta isu, sebab itu kami bergerak secara senyap.

“Kami mahu mengelakkan pertembungan. Kenapa ikut cara kotor seperti mereka? Biar mereka sebar berita palsu dan kami cuba menjelaskan isu yang ditimbulkan kepada khalayak kami.”

Pemimpin DAP mempersoalkan kurangnya program anjuran MCA untuk pilihan raya umum kali ini.

Dalam satu ceramahnya di ibu negeri Perak itu, calon DAP bagi kerusi Ipoh Barat, M Kulasegaran bertanya: “Di mana lawan saya? Adakah anda nampak mereka?”

Kulasegaran berkata, beliau mempelawa lawannya daripada MCA, Dr Cheng Wei Yee untuk berdebat isu semasa, tetapi beliau tidak hadir.

Ketika ditemui FMT, calon DAP untuk kerusi Ipoh Timur, Wong Kah Woh turut mempersoalkan lawaannya daripada MCA, Kathleen Wong Mei Yin.

Wong mendakwa MCA tidak menonjolkan diri kerana mereka tidak mendapat dana mencukupi daripada pusat untuk membiayai kempennya.

Bagaimanapun, Loh berkata, MCA yakin boleh menang di kerusi negeri Tebing Tinggi, Chenderiang, Bercham dan Pokok Assam berdasarkan sambutan baik daripada pengundi setakat ini.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.