
“Ini pertama kali saya cakap pasal politik. Saya juga bukan bomoh yang orang makan makanan saya terus boleh pangkah PH.
“Kalau saya boleh pengaruhi, baik saya menjadi perdana menteri. Baca sikit, fuhhh kiri fuhh kanan, terus berubah,” katanya pada program “Mari Memasak bersama Chef Wan” di Restoran Jasnita D’Maula Klasik, hari ini.
Turut hadir calon DAP di Ayer Hitam, Liew Chin Tong yang juga pengerusi DAP Johor dan serta calon kerusi negeri Yong Peng, Chew Peck Choo.
Chef Wan berkata, beliau juga tidak bimbang akan kehilangan darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya hanya kerana menyertai program anjuran DAP.
“Saya masih tukang masak, kerja saya tukang masak. Saya sudah tidak kisah kalau esok saya kena pulang pingat ‘Datuk’, saya tidak kisah nak hentam saya.
“Saya lahir sebagai Chef Wan dan mati pun sebagai Chef Wan. Tidak perlu pangkat darjat,” katanya sambil menambah bercakap benar ialah lebih penting baginya.
Katanya, tujuan beliau menyertai program PH ialah untuk menemui peminatnya sebagai tukang masak.
“Sama ada orang hargai saya atau tidak, saya tidak kisah. Apa yang saya tahu, saya buat benda yang betul.
“Jadi, bila isu keluar kempen untuk PH, itu bukan niat saya, bukan untuk kempen PH, tetapi niat nak masak-masak jumpa peminat saya, seronok-seronok. Apa masalahnya?
“Saya sudah 27 tahun memasak, bukan baru, mengadil sudah dan tumbuk sambal belacan semua saya buat.”
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14