Bekas ketua menteri Sabah puji Musa tolak urus janji balak 1996

Bekas ketua menteri Sabah puji Musa tolak urus janji balak 1996

Sakaran Dandai kata Musa Aman berani kerana menolak urus janji balak walaupun ia disokong kerajaan negeri.

Free Malaysia Today
Sakaran Dandai berkata Musa Aman menasihatkan dia untuk tidak mempengerusi mesyuarat urus janji balak kerana anak saudaranya, Shafie Apdal terlibat dalam urus janji itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah Tun Sakaran Dandai memberi penghormatan pada Tan Sri Musa Aman kerana dengan berani menolak satu cadangan yang disokong kerajaan pada 1996 melibatkan Yayasan Sabah ketika orang kuat Umno itu menjadi timbalan pengerusi dalam lembaga pemegang amanah yayasan itu.

Di tengah-tengah dakwaan pembangkang yang mendakwa ketua menteri itu menyalahgunakan kedudukannya di Yayasan Sabah, Sakaran berkata dia terpanggil untuk menceritakan sisinya dalam perkara itu.

Sebelum ini dilaporkan North Borneo Timbers Bhd (NBT), sebuah syarikat tersenarai yang mana Datuk Seri Shafie Apdal merupakan pengerusinya, mendapat urus janji konsesi balak bernilai RM350 juta dari Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), sebuah syarikat pelaburan bawah Yayasan Sabah.

Shafie, merupakan seorang bekas menteri persekutuan dan sekarang mengetuai Parti Warisan Sabah.

Musa membatalkan urus janji kontroversi antara ICSB dan NBT itu.

“Saya teringat Musa menasihatkan saya untuk tidak mempengerusikan mesyuarat itu kerana anak saudara saya, Shafie, terlibat dalam urus janji itu dan oleh itu akan berlaku percanggahan kepentingan,” kata Sakaran.

“Saya difahamkan cadangan itu ditolak Musa kereana ia akan menjejaskan Yayasan Sabah secara keseluruhan.”

Menilai semula pengalaman itu, Sakaran berkata Musa “dengan sendirinya” melakukan perkara yang berani apabila menolak urus janji itu walaupun ia disokong jemaah menteri.

“Saya terima keputusan lembaga pemegang amanah menolak cadangan itu sebagai penjaga terakhir aset-aset Yayasan Sabah.”

Sakaran berkata Yayasan Sabah ialah satu institusi yang sudah membantu ribuan rakyat Sabah dan tidak boleh diletakkan dalam kedudukan lemah sekarang atau di masa depan.

Bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah, Tengku Zainal Adlin dan bekas ketua pegawai eksekutif ICSB, Abdul Kadir Damsal berkata Musa membantu menyelamatkan negeri itu daripada urus janji yang tidak bagus, yang akan menyebabkan kehilangan rizab hutan Sabah.

“Musa layak dipuji lebih daripada ini kerana tindakan berani itu.

“Dia bertindak mengikut hati nuraninya dan merasakan dia memerlukan sokongan kerajaan persekutuan dalam hal ini, dia mendapatkan kebenaran berkaitan dan menghentikan urus janji itu.

“Tak salah untuk katakan Yayasan Sabah tidak akan wujud hari ini jika urus janji itu diluluskan kerana ia tidak akan mampu memenuhi tujuan ia ditubuhkan oleh ketua menteri, Tun Datu Mustapha Harun pada 1967,” kata mereka, menurut laporan akhbar Sabah, Daily Express.

“Jika urus janji itu tidak dibatalkan, secara teknikalnya semua konsesi hutan di Sabah akan dikuasai NBT pada harga RM350 juta sahaja.

“Usaha menghentikan urus janji itu seperti satu drama sebenar,” kata Tengku Adlin kepada akhbar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.