Saya tak perlu parti untuk bantu PH tukar kerajaan, kata Daim

Saya tak perlu parti untuk bantu PH tukar kerajaan, kata Daim

Daim berkata beliau banyak kali cuba menasihati Umno dalam beberapa isu tetapi tidak diendahkan.

Free Malaysia Today
Daim berucap pada program dialog PH di Muar, sambil diperhatikan (duduk dari kiri) calon Bakri dari DAP, Yep Bee Yin, calon Muar dari PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon PKR untuk DUN Sungai Balang di Muar, Naim Jusri.
MUAR:
Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin terus mengasak kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam siri ceramahnya membantu Pakatan Harapan, tetapi berkata beliau tidak melihat keperluan untuk menjadi ahli salah satu daripada 4 parti gabungan pembangkang itu.

Apa yang penting, katanya, ialah membantu kempen untuk menukar kerajaan.

“Saya sudah tua. Bila-bila masa nak mati pun. Jadi tidak apalah, saya bebas dulu. Nak masuk parti Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak payah,” katanya merujuk kepada PPBM, di sebuah program di Parit Yusof di sini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengesahkan memecat Daim dan Tan Sri Rafidah, seorang lagi menteri kanan yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Parti itu juga sedang menyiasat penasihat budaya kerajaan Tan Sri Rais Yatim, berikutan siri kenyataan mengecam kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Daim dan Rafidah secara terbuka menggesa rakyat Malaysia menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 9 Mei nanti.

Pada program hari ini, Daim berkata salah satu faktor beliau berasa terpanggil untuk keluar menyertai kempen PH adalah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghalang Naib Presiden PKR, Tian Chua daripada bertanding mempertahankan kerusi Batu.

“Tiada undang-undang dalam negara ini. Mereka mahu menang. Saya tidak boleh terima keputusan itu.”

Katanya, beliau banyak kali cuba menasihati Umno tetapi tidak dihiraukan.

Antara isu yang dibantahnya ialah akta berkenaan berita palsu dan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.