Nik Omar naik bas tanpa hala tuju jelas, kata PAS Kelantan

Nik Omar naik bas tanpa hala tuju jelas, kata PAS Kelantan

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Johari Mat berkata, parti itu terbuka menerima bekas ahlinya, termasuk Nik Omar, selepas mereka sedar kesilapan termakan pujuk rayu pihak tertentu.

Free Malaysia Today
Johari Mat (kiri) berkata, PAS tidak pernah tutup pintu untuk bekas ahlinya kembali ke pangkuan parti itu.
KOTA BHARU:
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Johari Mat menyifatkan anak bekas mursyidul am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyertai Amanah ibarat “menaiki bas tanpa hala tuju jelas”.

Katanya, PAS terbuka menerima bekas ahlinya, termasuk Nik Omar kembali bersama parti itu, selepas mereka sedar kesilapan termakan pujuk rayu pihak tertentu.

“Kita berdoalah setiap orang yang tersilap boleh betulkan semula, dah terlajak boleh betulkan. Allah buka jalan mereka bertaubat dan kita dalam PAS tak pernah tutup pintu untuk mereka kembali,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Johari mengulas tindakan Nik Omar menyertai Amanah dan bertanding atas tiket PKR dengan membawa perjuangan Islam menentang calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood di kerusi negeri Chempaka.

Semalam, FMT melaporkan ibu Nik Omar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak berkempen untuk calon lawan di DUN Chempaka.

FMT difahamkan Tuan Sabariah mula berkempen untuk Fathan beberapa hari selepas anak keduanya dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

Adiknya, Nik Mohamad Abduh sebelum ini berkata, ibu mereka sangat terguris susulan keputusan Nik Omar menyertai PH untuk menentang PAS.

Anak ke-5 itu berkata, ibunya mahu turun berkempen selepas mengetahui Nik Omar melawan PAS.

Sementara itu, Johari berkata, perjuangan dan dasar parti Islam itu tidak berubah sejak 1951.

Katanya, pihak lain bebas menubuhkan parti baru yang turut mempunyai dasar sama seperti PAS, tetapi ia tidak boleh bermatlamat untuk melemah atau memecahkan pihak lawan.

Beliau memberi contoh solat berjemaah di masjid, di mana orang lain tidak boleh membuat jemaah baru jika masih ada jemaah sedang bersolat.

“Sekiranya jemaah lama masih ada dan tetap tak lari daripada dasar yang ditetapkan, maka tidak sewajarnya ada yang baru.

“Itu sebagai contoh kita ambil sembahyang jemaah, mudah nampak. Kalau nak teruskan sembahyang juga, jemaah ke-2 itu tak sah sebenarnya. Kerana itulah (akan) timbul 2 imam, imam pertama saja yang sah.

“Hal ini kalau nak ‘related’ begitu juga denga parti, PAS memperjuangkan Islam, sepatutnya tidak ada lagi parti yang ditubuhkan untuk menyaingi PAS, kalau untuk menyokong tak apa, bukan untuk melemahkan atau memecahkan,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.