
“Saya rasa di Parlimen Marang, PAS masih mendominasi melalui Hadi,” kata Pengerusi PH Bahagian Marang, Aidi Ahmad kepada FMT.
“Semua orang sedia maklum, walaupun PAS dulu dibantu parti lain, sekarang ini PAS bersendirian. Tetapi di Marang, hadirnya presiden PAS yang tinggal di Marang, jadi peratusan ahli PAS akan memihak kepada PH atau BN masih di peringkat minima.”
Bagaimanapun, beliau mengingatkan PAS supaya tidak terlalu selesa dengan keadaan itu kerana pertarungan 3 penjuru mampu mengurangkan majoriti undi parti Islam itu.
“Kehadiran PH di Marang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah majoriti yang dimenangi PAS.”
Aidi yang juga calon PH di kerusi negeri Pengkalan Berangan berkata, calon Amanah di Parlimen Marang, Dr Zarawi Sulong perlu bekerja keras memujuk penyokong PAS menolak Hadi.
“Untuk lebih meyakinkan penyokong PAS ini, PH melalui Amanah kena lebih berusaha menerangkan apa yang terjadi, termasuklah hubungan PAS dengan BN sekarang semakin mesra.”
Pada 2013, Hadi menewaskan calon BN di Marang, Yahya Khatib Mohamad dengan kelebihan 5,124 undi.
Walaupun sukar, Zarawi tetap optimis beliau berpeluang menang kerana Hadi pernah kalah beberapa kali di kerusi Parlimen Marang.
“Perkembangan politik Marang ini adakalanya Umno dan PAS silih berganti, sama ada menang atau kalah. Pada 1990 Umno menang, 2004 pun Umno menang, jadi dalam politik ini tidak ada perkara mustahil yang boleh berlaku.
Hadi memenangi kerusi Marang sejak 1986 sehingga 2013, kecuali pada 1990 dan 2004.
Selain Zarawi, Hadi akan ditentang calon BN, Mohamad Nor Endot.
PH berpeluang menang 2 DUN di Marang
Aidi turut menjangkakan PH dapat merampas 2 kerusi negeri di bawah Parlimen Marang daripada BN dan PAS.
“PH walaupun sukar menawan Parlimen Marang, tetapi kita yakin dapat merampas kerusi Pengkalan Berangan dari BN dan Alor Limbat yang dimenangi PAS.”
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14